Rabu, 6 Mac 2019

‘Sudahkah PAS Islamkan UMNO?’

ISMA WEB

Kerjasama UMNO-PAS mahu kembalikan Najib sebagai pemimpin


BANGI – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerjasama baharu yang dibentuk antara UMNO dan PAS lebih ke arah untuk mengembalikan Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin, termasuk menghalalkan semua jenayah yang didakwa dilakukan bekas perdana menteri itu.

Perdana Menteri mempersoalkan adakah menerusi kerjasama berkenaan, PAS sudah menganggap Najib yang sedang menghadapi beberapa pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa tidak bersalah.

Malah, beliau turut mempersoalkan apakah rasuah, salah guna kuasa dan jenayah boleh dihalalkan atas nama penyatuan Islam dan Melayu melalui kerjasama politik itu.

“Betul Najib belum didapati bersalah kerana perbicaraan oleh mahkamah belum dapat diadakan. Akan terimakah Najib sebagai pemimpin PAS jika ia didapati bersalah.

“Tetapi jika ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin PAS yang arif akan apa yang berlaku di serata dunia, kenapakah mereka masih bersedia bersekongkol bersama UMNO dan Najib,” katanya dalam tulisan di Chedet.cc, hari ini.

Mengulas kerjasama kedua-dua parti itu, beliau berkata, salah satu sebab penggabungan antara UMNO dan PAS tidak berlaku suatu ketika dahulu adalah kerana PAS telah mengkafirkan rakan baharu politiknya itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, sehingga kini PAS masih belum menarik balik ‘fatwa’ berkenaan terhadap UMNO.

“Sudahkah PAS Islamkan UMNO? Keduanya, PAS juga tidak mahu bekerjasama dengan UMNO pada masa dahulu kerana UMNO mengamalkan perlembagaan yang dituduh sekular dan kafir.

” Ini adalah di antara asas Amanat Haji Hadi yang membawa kepada sembahyang dua imam; tidak mahu makan sembelihan orang UMNO, jenazah perlu disembahyangkan semula oleh orang PAS jika sebelumnya disembahyangkan oleh orang UMNO, mengharamkan anak mengahwini anak orang UMNO, mengharamkan isteri mengundi UMNO dan jika dilakukan akan gugur talak dan bermacam-macam lagi.

“Adakah kesemua larangan dan amalan-amalan ini telah ditarik balik atau di arah untuk dihentikan? Apakah orang UMNO terima bahawa mereka dengan PAS kelainan agama tetapi perbezaan ini diterima kedua-dua pihak,” katanya.

Dr Mahathir berkata, tidakkah PAS sedar dengan keadaan UMNO hari ini apabila ramai dalam kalangan ahli parti itu sudah meninggalkan UMNO kerana menjadi kleptokrasi dan bukan demokrasi.

Beliau berkata, PAS sepatutnya sedar nilai yang diterapkan apabila bekerjasama dengan UMNO serta Najib – yang digelar dan menggelarkan dirinya sebagai ‘boss’ – ketika ini.

“Bos bermakna ‘Tuan Hamba’. Apakah PAS juga bersedia untuk jadi hamba kepada seorang yang dipercayai mencuri. Sudah gugurkah PAS perasaan malu apabila menerima Najib sebagai ‘boss’,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sebelum ini beberapa pemimpin PAS telah datang berjumpa beliau dan menyerahkan satu dokumen akujanji akan menyokongnya sebagai perdana menteri.

“Pemimpin PAS kata tidak akan berkempen sokong BN di Semenyih. Tetapi pada hari penamaan calon ramai pemimpin PAS hadir bersama pemimpin BN. Inikah janji PAS?

” PH tidak gentar melihat gabungan PAS dengan UMNO. Ia memberi banyak isu dan peluang mendedahkan kedua-dua parti bahawa pembohongan sudah jadi wajib bagi mereka,” katanya.


Tiada ulasan: