KUALA LUMPUR – Tindakan seorang calon bebas PRK Rantau yang mengaku ahli Pas tetapi sebenarnya ahli Amanah dianggap permainan kotor politik Pakatan Harapan (PH) yang akhirnya memakan diri.
“Tindakan ini adalah suatu tindakan yang mempunyai motif jahat untuk memecah-belahkan kerjasama yang terjalin antara Pas dan UMNO,” kata Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Wan Agyl Wan Hassan.
Apa yang lebih mendukacitakan, katanya, calon tersebut, Mohd. Nor Yasin menafikan fakta yang dia merupakan ahli Amanah walhal terdapat banyak bukti yang tersebar di media sosial yang menunjukkan dia adalah ahli parti pimpinan Mohamad Sabu.
Ini jelas menunjukkan bahawa penipuan sudah menjadi begitu sinonim dengan PH, ujarnya.
“Kejadian ini juga membuktikan yang terdapat pergelutan kuasa dan konflik di dalam PH atau sememangnya ia adalah taktik PH untuk menipu bagi mengelirukan pengundi,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.
Tambah Agyl, apa yang dikesalinya tindakan yang dilakukan oleh calon bebas dari Amanah ini jelas mempersendakan pengundi Rantau.
“Janganlah dek kerana kerakusan perebutan kuasa dalaman PH, mereka menjadikan pengundi Rantau sebagai mangsa.
“Maka sudah sampai masanya pengundi Rantau menunjukkan kuasa rakyat kepada PH dengan memberi amaran bahawa sebagai pemegang amanah rakyat, apa yang utama adalah kepentingan rakyat dan bukan mementingkan siapa yang patut memegang kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun selepas tular di media sosial, Amanah dengan pantas memecat keahlian Mohd. Nor.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan