Kritikan terbuka antara ahli politik PKR dengan PPBM boleh menjejaskan fokus dan misi Pakatan Harapan (PH) untuk membina semula negara dan mewujudkan Malaysia Baru.
Hubungan yang baik bukan saja perlu antara penasihat PPBM, Dr Mahathir Mohamad dengan presiden PKR, Anwar Ibrahim, tetapi keseluruhan pemimpin kedua-dua parti penting PH itu.
Dengan semangat berorganisasi yang baik, maka ahli dan penyokong parti PH, termasuk juga DAP dan Amanah akan lebih mudah aktif di peringkat akar-umbi, dan menjadi kunci kekuatan kerajaan yang memerintah sekarang ini.
Setelah berjaya melepaskan diri daripada kleptokrasi, maka usaha mengisi demokrasi ini adalah dalam bentuk kejayaan ekonomi.
Namun pembinaan semula negara bukan saja memerlukan masa, tetapi juga menuntut kerjasama semua pihak, daripada kakitangan awam yang merupakan jentera bagi pelaksanaan dasar kerajaan, sehinggalah kepada penyertaan rakyat biasa.
Sebarang tindakan yang menghalang kejayaan kerajaan ini merupakan sabotaj, walaupun ia dilakukan tanpa niat oleh penyokong PH sendiri.
Pembangkang, khususnya Umno dan PAS tentunya mempunyai kepentingan untuk melihat kegagalan PH. Dengan bersikap negatif, dapat difahami bahawa mereka akan menangguk di air keruh dan akhirnya mengambil alih kuasa melalui pengaruh ke atas minda rakyat supaya mengundi pembangkang dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Maka dalam keadaan ditekan begini, adalah tidak wajar kalangan pemimpin PH mengkritik kerajaan mereka sendiri. Walaupun kerajaan PH itu kukuh, tetapi hubungan sesama parti tidak sekuat yang diharapkan.
Ia boleh terlerai dan mungkin menjejaskan keutuhannya hingga membawa kepada kegagalan mempertahankan kedudukan dalam pilihan raya umum akan datang. Malah kelangsungan hayatnya untuk menghabiskan penggal ini juga terancam.
Dalam keadaan pembangkang semakin mengukuhkan diri dengan perpaduan antara Umno dan PAS, dan selanjutnya dimesrakan hubungan mereka dengan MCA dan MIC, parti PH tidak mampu untuk berasa selesa dan mengkritik antara satu sama lain.
Buat masa ini kelihatannya tidak timbul sebarang kritikan terbuka antara ahli politik DAP dan Amanah dengan PPBM dan PKR. Tetapi yang berlaku ialah kritikan antara PPBM dengan PKR.
Sementara dalam PKR sendiri, berlaku juga kritikan di antara satu sama lain, yang jelas melanggar ketertiban kehidupan berorganisasi.
Dalam demokrasi tentunya kebebasan bersuara diutamakan. Tetapi prinsip itu merujuk kepada kalangan rakyat yang bebas mempersoalkan dasar dan langkah kerajaan. Ia merupakan peranan media arus perdana yang bebas daripada pemilikan parti politik. Begitu juga kebebasan pihak pembangkang untuk mengkritik kerajaan. Perkara itu adalah sebahagian daripada prinsip imbangan kuasa dalam demokrasi.
Tetapi dalam parti politik, ia mempunyai prinsip disiplin. Kritik dalaman parti perlu melalui salurannya, dari cabang atau bahagian hinggalah ke peringkat tertinggi. Terdapat dinamika politik dalaman parti tersendiri untuk tujuan itu.
Jika segala usaha dilakukan tidak berhasil, maka seharusnya keadaan diam adalah lebih baik, iaitu jika masih hendak bersama dalam parti. Jika tidak, maka jalan terbaik adalah melangkah keluar.
Disiplin dalam parti adalah jelas. Tetapi disiplin antara parti yang bersekutu juga adalah penting.
Semua parti tentunya mempunyai nilai, ideal dan dasar berbeza. Atas sebab kepentingan politik bersama, maka parti politik berpakat.
Dalam hal ini, tentulah perlu tolak ansur jika mahu mengekalkan hubungan. Maka adalah tidak wajar amalan mengkritik parti lain yang sama sekutu. Ia boleh melunturkan keyakinan rakyat terhadap gabungan berkenaan. Keyakinan rakyat terhadap PH pula adalah kunci untuk diterjemahkan kepada undi dalam pilihan raya umum akan datang.
Disiplin ini bukan saja perlu dihormati oleh pemimpin dan ahli parti berkenaan, tetapi juga para penyokong yang tidak menjadi ahli atau hanya mengikut perkembangan melalui media, sama ada media arus perdana, atau media sosial.
Penyokong yang baik tidak harus melenting atas sesuatu kenyataan pemimpin. Mengambil sikap diam, tetapi berfikir adalah lebih baik.
Adalah lumrah bahawa terdapat rasa tidak setuju dan kecewa terhadap sesuatu perkara, sama ada soal politik, mahupun polisi-polisi kerajaan.
Semua jawatan mempunyai kedudukan yang berupaya mendapatkan maklumat berbanding daripada orang lain. Penyandang jawatan pula terlibat dengan mesyuarat dan rangka kerja, yang sudah pasti banyak berfikir dan menimbang sesuatu perkara itu, berbanding dengan orang luar yang tidak memikul tanggungjawab organisasi.
Pun begitu, ada waktu-waktu tertentu, orang luar mempunyai maklumat khusus yang tidak dmiiliki oleh penyandang jawatan. Atau pun pertimbangan dalam membuat sesuatu keputusan oleh pihak luar adalah lebih baik. Lebih-lebih lagi jika penyandang jawatan itu kurang mahir dalam bidang berkenaan atau putus hubungan dengan realiti.
Maka dalam keadaan ini, kritikan mereka ada nilainya. Cumanya ia perlu dibuat secara tertutup dan menurut saluran supaya lebih berkesan dan tidak diperalatkan oleh mereka yang sememangnya mahu memburukkan kerajaan.
Di peringkat politik, badan tertinggi PH adalah Majlis Presiden yang wajar dijadikan tempat untuk menyelesaikan masalah antara parti. Tetapi ia tidak wajar terhenti di situ, setiap negeri dan kawasan pilihan raya, majlis pertemuan dan dialog antara pemimpin PH patut juga diadakan.
Pada peringkat kerajaan pula, majlis tertingginya adalah Kabinet. Tetapi setiap kementerian mempunyai pelbagai majlis dan jawatankuasa yang boleh digunakan oleh pemimpin PH untuk menyalurkan rasa tidak puas hati dan seumpamanya.
Dalam pada itu, para penyokong PH pula wajar aktif di peringkat masing-masing jika kritikan mereka secara jujur hendak diambil perhatian.
Dengan aktif dalam pelbagai NGO yang diminati, termasuk persatuan penduduk, persatuan ibu bapa dan guru, persatuan alam sekitar dan lain-lain kumpulan aktiviti masyarakat yang bersikap positif untuk membaiki keadaan mampu mendatangkan kesan. Atau sekurang-kurangnya menyuarakan secara peribadi menurut saluran, tetapi masih dalam kerangka menyokong PH.
Pemimpin PH yang berprofil tinggi tentunya mempunyai akses yang lebih mudah dan berkesan. Ia juga bermakna, tidak perlulah kritikan itu dilahirkan secara terbuka hingga boleh menimbulkan tanda tanya.
Namun apa-apa jua kritikan dan gesaan tentulah tidak semestinya dapat diterima semuanya. Itu tidak bermakna seseorang itu perlu merajuk atau meninggalkan medan.
Adalah mudah untuk melepaskan jawatan dan meninggalkan medan daripada terus berjuang, lebih-lebih lagi jika seseorang pemimpin itu masih muda dan masih jauh perjalanannya. Tetapi bagi para penyokong PH, untuk mendapatkan kemenangan pada 9 Mei lalu adalah satu perjuangan yang sukar dan panjang. Kemenangan itu patut dihargai dengan melaksanakan tugas sebaik mungkin bagi membina semula negara.
Dalam hal ini ada baiknya pemimpin PKR dan PPBM mengukuhkan hubungan mereka demi keutuhan PH dan seterusnya mempertahankan keyakinan terhadap kerajaan.
Segala pergolakan yang berkaitan PPBM dan PKR sejak penubuhan kerajaan PH biarlah menjadi pengajaran. Tumpuan mesti kembali kepada usaha memulihkan keadaan ekonomi negara, iaitu demi meringankan beban rakyat yang sedang terhimpit dengan tekanan kehidupan seharian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan