KUALA LUMPUR: MIC menjadi parti komponen kedua dalam Barisan Nasional (BN) selepas UMNO untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Pas.
Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, keputusan itu sekali gus akan memperkukuhkan blok pembangkang khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, 13 April ini.
"Kami yakin terhadap kepimpinan PAS dan kerjasama ini berada di landasan yang betul," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat hampir dua jam dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti di Ibu Pejabat MIC di sini pada Khamis.
Sementara itu, Abdul Hadi optimis kerjasama itu akan membawa perubahan baharu dalam politik PAS selain sebagai persedian PRK Rantau yang bermula selepas penamaan calon pada Sabtu ini.
"PAS amat menyanjungi MIC sejak dahulu lagi. Kita percaya kerjasama ini membuka tekad baharu dalam menghadapi cabaran politik masa hadapan," katanya.
Hadir sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. -- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan