Rabu, 6 Mac 2019

Ahli Parlimen BN Jasin gagal batal petisyen calon PH

Siti hafidah 

Mahkamah Pilihan Raya tetap perbicaraan 11 Mac hingga 22 Mac


MELAKA – Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini menolak bantahan awal Anggota Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Hakim Datuk Abu Bakar Jais membuat keputusan itu setelah menolak bantahan kali kedua yang dikemukakan Ahmad, selaku responden pertama iaitu tempoh masa untuk menyelesaikan perbicaraan petisyen pilihan raya sudah melepasi enam bulan dari tarikh petisyen pilihan raya itu dikemukakan mengikut Seksyen 35A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Peguam Muniandy Vestanathan yang mewakili Khairuddin berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati meskipun sudah melepasi tempoh enam bulan namun, Mahkamah Pilihan Raya mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes berkenaan.

“Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan penuh akan bermula pada 11 Mac hingga 22 Mac ini untuk ketiga-tiga responden,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Ahmad manakala Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi Parlimen Jasin, Zamrud Yahya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Khairuddin dalam petisyennya menamakan Ahmad sebagai responden pertama, Zamrud responden kedua dan SPR responden ketiga.

Pada 18 Februari lepas, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum mengembalikan petisyen pilihan raya Parlimen Jasin yang difailkan Khairuddin ke Mahkamah Pilihan Raya untuk dibicarakan di hadapan hakim Mahkamah Pilihan Raya yang baharu.

Pada Oktober tahun lepas, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen Khairuddin selepas membenarkan bantahan awal kali pertama oleh Ahmad, calon dari Barisan Nasional (BN).

Pada PRU14 lalu, Khairuddin kalah kepada Ahmad dengan perbezaan 219 undi dalam pertandingan tiga penjuru yang menyaksikan Ahmad mempertahankan kerusi itu selepas menerima 26,560 undi manakala Khairuddin memperoleh 26,341 undi sementara calon PAS Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.

Khairuddin yang juga Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan memfailkan petisyen pilihan raya itu pada Jun tahun lepas menurut Seksyen 34(C) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau yang memohon perintah deklarasi keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Jasin batal dan tidak sah mendakwa ahli politik BN itu dipilih secara tidak sah dan pilihan raya baharu perlu diadakan. – Bernama


Tiada ulasan: