Wartawan Watan-Online
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi mengecewakan rakyat apabila dilihat gagal menunaikan janji untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah berkata pentadbiran kerajaan PH disifatkan masih terkial-kial mencari penyelesaian terbaik bagi mewujudkan satu juta peluang pekerjaan seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH.
“Malahan baru-baru ini di Dewan Rakyat, saya kecewa dengan jawapan YB menteri apabila saya memohon dalam satu juta peluang pekerjaan yang dijanjikan di bawah manifesto Pakatan Harapan (PH), bagaimana kuota yang diperuntukkan untuk anak muda.
“Saya tidak nampak pihak kementerian bersungguh-sungguh untuk melihat kepentingan anak muda… walaupun kita tahu anak muda pendidik masa depan dan ini adalah kegagalan kepimpinan yang dibuat menerusi tenaga manusia,” katanya kepada media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin.
Shahar yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO berkata generasi muda sekali lagi tertipu sekiranya PH tidak melaksanakan janji tersebut pada tahun ini ataupun awal tahun depan.
Beliau turut menambah kerajaan PH pada masa kini hanya layak dianggap sebagai kerajaan kakitokrasi apabila gagal memimpin negara dan mempunyai pentadbiran yang amat teruk.
“Saya harap kerajaan hari ini harus memikirkan kebajikan dan masa depan anak-anak muda kita.
“Sehingga ke hari ini, nampaknya dilihat mereka tidak bersungguh-sungguh untuk melaksanakan manifesto.
“Mereka hanya mahu popular dengan menabur segala janji-janji tetapi kebersungguhan mereka tidak nampak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan