Kerajaan mesti mengesahkan kesahihan kertas siasatan sulit SPRM yang terbongkar dan tersebar luas mengenai projek terowong bawah laut Pulau Pinang dan menjelaskan mengapa tiada tindakan telah diambil, sebelum terus mendakwa bahawa pentadbiran BN terdahulu cuba menjual Bangunan Malaysia di Hong Kong, kata Najib Razak.
Menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini, beliau berkata ini adalah penting untuk membolehkan orang ramai menilai diri sendiri tentang siapa yang salah, atau sebaliknya.
Menurut Najib, sekurang-kurangnya enam kertas siasatan telah dijalankan berhubung siasatan terowong berkenaan, sejak awal tahun lalu - tiga daripadanya sudah berada di pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.
“Sebahagian dari kertas-kertas siasatan sulit SPRM telah terbongkar dan tersebar luas. Ini pun satu isu yang serius.
“Pengakuan dari pemilik syarikat konsesi tender dakwa pernah membayar wang rasuah serta berjanji untuk memberi kepentingan 10 peratus untuk projek terowong bernilai RM6.3 bilion itu kepada seorang pemimpin kanan DAP.
“Pengakuan dari pemilik syarikat konsesi terowong dakwa pemimpin kanan DAP telah berjanji untuk menganugerahkan projek itu dan memastikan mereka akan menang projek itu sebelum tender berbentuk Request for Proposal (RFP) dibuka.Yang di atas susah untuk faham ke?” soalnya.
Terdahulu hari ini, Najib sekali lagi menggunakan isu terowong dasar laut Pulau Pinang ketika diminta menjawab dakwaan pentadbirannya pernah cuba menjual Bangunan Malaysia di Hong Kong.
Ditemui oleh pemberita di luar persidangan Dewan Rakyat, Najib cuba mengumpan Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk menjawab dakwaan yang dibuat oleh blogger banduan yang berada di pangkalan di United Kingdom, Raja Petra Kamarudin.
Dia mendakwa kenyataan saksi SPRM pada Jan 2018,mengaitkan Lim, yang ketika itu adalah ketua menteri Pulau Pinang, dalam penerimaan sogokan untuk projek terowong bawah laut.
Walau bagaimanapun Pengarah Eksekutif Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohamad Zulkifli, yang kononnya membuat kenyataan itu, telah menafikan dakwaan Raja Petra tersebut.
Zarul juga menyifatkan tuntutan itu sebagai "jahat" dan "rekayasa", memandangkan dia tidak pernah didakwa selepas siasatan berhubung perkara itu dibuat awal tahun lalu ketika Najib masih berkuasa.
Dalam hantaran di Facebook, Najib berkata beberapa ahli parlimen pembangkang berulang-kali mengemukakan soalan itu termasuk di Parlimen tetapi Pakatan Harapan tidak mahu memberikan jawapannya.
“PH dan DAP tak payah jawab ke jika dokumen-dokumen SPRM terbongkar itu sahih atau tidak?
“PH dan DAP tak payah jawab ke mengapa kertas-kertas siasatan lengkap masih ada di AGC sejak satu tahun dahulu tetapi tidak ada sebarang keputusan untuk mendakwa atau menutup kes pernah dibuat?
“Rakyat tak mahu kerajaan PH berlaku telus dan adil ke?” soal Najib.
Mengenai bangunan milik negara di Hong Kong itu, yang didakwa Lim bahawa cuba dijual oleh Najib melalui rundingan secara langsung apabila beliau masih berkuasa pada awal tahun 2018, ahli parlimen Pekan tersebut berkata tiada siasatan SPRM yang dijalankan.
“Mereka dakwa kerajaan BN yang mula-mula putus mahu jual dengan harga RM1.1 bilion. Belum jual lagi.
“Tiada siasatan SPRM ataupun dakwaan salah-laku ke atas projek ini. PH sendiri mengaku mereka telah lulus untuk jual bangunan itu baru-baru ini,” kata Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan