PARLIMEN | Persidangan Dewan Rakyat hari ini menyaksikan ahli parlimen pembangkang membidas cadangan Menteri Industri Utama Teresa Kok berhubung penanaman buluh sebagai alternatif kepada minyak sawit.
Ahli parlimen pembangkang mengajukan soalan berhubung cadangan itu kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin, dengan mempersoalkan sama ada kerajaan benar-benar serius tentang cadangan berkenaan.
Shahidan Kassim (BN-Arau), dengan nada sarkastik mencadangkan penubuhan sebuah lembaga memantau penanaman buluh dan mencadangkan nama Lembaga Buluh Negara digunakan.
Shahidan juga mencadangkan agar akronim 'Lembu' digunakan bagi merujuk lembaga itu.
Menjawab cadangan itu, Shamsul membalas: "Saya setuju, kalau nanti kementerian boleh cadangkan YB (Shahidan) sebagai pengerusi Lembu yang pertama".
Mengulas dengan nada serius, Shamsul berkata kerajaan melihat buluh sebagai komoditi yang mempunyai potensi.
"Manakala nilai eksport Malaysia bagi produk berasaskan buluh hanya bernilai RM102,827. Industri buluh di Malaysia boleh dimajukan dan dikembangkan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa," katanya.
Bagaimanapun, Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) menyatakan kebimbangan sekiranya Malaysia mempunyai pasaran untuk buluh yang kini didominasi China dan India.
"Memang betul boleh selang seli tanaman, tapi dalam sekala besar adakah ini pendekatan pragmatik? Kita kena fikir betul-betul kalau kita beri panduan (kepada peladang) akhirnya akan terjerat kerana tak ada pasaran," katanya.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Ismail Sabri (BN-Bera) mempersoalkan bagaimana peladang dapat bertahan dalam tempoh peralihan sekiranya mereka meninggalkan tanaman sawit atau getah untuk bertukar kepada tanaman buluh.
"Saya lebih (bimbang apabila) melihat pada pekebun kecil yang tanah mereka satu hingga 10 ekar," katanya.
Bagaimanapun, Shamsul berkata kerajaan hanya melihat buluh sebagai industri berpotensi untuk dibangunkan dan bukannya mencadangkan tanaman sawit dan getah digantikan.
"Kita lihat sebagai sumber komoditi yang berpotensi tidak bermakna kita nak tebang kelapa sawit tanam buluh, bukan konsep tu," kata Shamsul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan