Ahad, 31 Mac 2019

Kerajaan PH ‘Gila’, Enggan Dedah Laporan CEP”


Hasil carian imej untuk FOTO ZAID IBRAHIM

MYNEWSHUB


KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menempelak dan menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ‘gila’ selepas enggan mendedahkan secara umum laporan yang disediakan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

 

Menurut Zaid, Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin bersama lima lagi ahlinya telah bekerja keras untuk menyediakan laporan tersebut yang mengandungi maklumat tentang penyalahgunaan kuasa dan perincian dalam tadbir urus kerajaan.

“Kita sepatutnya membaca dan membincangkan perkara ini tetapi kerajaan PH pula mengklasi­fikasikan laporan CEP di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 baru-baru ini. 

Kerajaan PH mesti gila kerana mereka sepatutnya telus untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Kerahsiaan kerajaan sepatutnya terhad kepada perkara keselamatan yang penting sahaja. Jika pandangan enam ahli CEP mengenai pentadbiran dan ekonomi pun dianggap rahsia maka kita sudah tidak mempunyai harapan,” kata beliau di dalam laman Twitter rasminya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan kerajaan PH untuk tidak mendedahkan secara umum laporan yang disediakan CEP akan menghampakan seluruh rakyat di negara ini.

Katanya, hal itu kerana langkah mengklasifikasikan laporan CEP di bawah OSA mencerminkan kerajaan hari ini tidak bersifat telus berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita berharap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membentangkan laporan berkenaan dan dibahaskan secara terbuka di Parlimen agar rakyat mengetahui segala maklumat yang telah terkandung di dalamnya.

“Rakyat menaruh harapan yang tinggi apabila Perdana Menteri membentuk CEP sebaik sahaja Kerajaan Persekutuan yang baharu ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau mengingatkan kerajaan PH supaya mendedahkan laporan CEP secara umum sejajar dengan matlamat asal penubuhannya sebelum ini.

Menurut Dominic, tindakan kerajaan PH mengklasifikasikan laporan CEP di bawah OSA dilihat sebagai penyalahgunaan undang-undang dan mengkhia­nati kepercayaan orang awam.

“Sebelum ini Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Ahli CEP, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram dan Tun Daim sendiri yang mencadangkan supaya laporan itu dibuat secara terbuka.

“Laporan ini penting untuk semua rakyat dan akan mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Rakyat dimaklumkan penubuhan CEP adalah untuk membantu kerajaan dalam perkara-perkara berkaitan ekonomi dan kewangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: