MalaysiaGazette memilih Bangi Square kerana tempat makan di sini selesa serta menawarkan pelbagai menu, dan tentunya pilihan kami adalah Nasi Arab yang citarasanya diubahsuai bagi memenuhi selera tempatan.
Bagi penggemar hidangan Timur Tengah, nama-nama seperti nasi mandy, kabsah mahupun maglubah pasti telan air liur melihat juadah yang digandingkan dengan daging kambing, lembu mahu pun ayam.
Di Restoran Nasi Arab Bangi Square menu tersebut disesuaikan dengan tekak Melayu, tentunya ia sesuatu yang mesti dirasa oleh para peminat nasi Arab dan juga hidangan tempatan.
Berbeza dengan restoran nasi Arab lain, menu nasi Arab kari kambing di sini memang padu dan wajib dicuba.
Mana tidaknya, idea penyatuan Arab dan Melayu terbukti menyerlahkan satu rasa yang menawarkan nikmat tersendiri .
Menurut pemiliknya, Saiful Anuar Md Noor, 52, menu Nasi Arab Kari Kambing ni tercetus selepas dia bersama isterinya membuat servis katering untuk majlis kahwin.
“Idea untuk jual nasi Arab ni tercetus bila kami usahakan katering dan pada masa itu kami jual nasi Arab. Jadi ada kawan mencadangkan supaya berniaga di sini.
“Paling special di sini Nasi Arab Kambing Mandy, dan ada menu Nasi Arab Kari Kambing yang lebih sinomin dengan Melayu yang suka makan kari,” kata anak kelahiran Johor itu.
Gandingan kari kambing dengan nasi Arab pada mulanya agak janggal bagi penulis namun selepas mencubanya, jujur memang sedap.
Ada pelanggan yang menyamakan menu ini dengan menu Kari Kambing 40 hari di Yong Peng, Johor.
“Favourite saya nasi kari kambing, kalau orang kata Kari Kambing 40 hari boleh lawanlah, memang saya recommend lah kat sini.
“Harga memang value for money, saya bawa keluarga makan nasi Arab kat sini tidak koyak poket lah,” kata Ridzuan Puteh.
Soal harga, jangan risau. Bagi set dulang, harganya cuma RM64 bagi empat orang makan. Memang terangkat.
Manakala set individu cuma RM17 sepinggan.
Bagi krew MalaysiaGazette, memang disyorkan untuk pembaca semua mencuba menu Nasi Arab Kari Kambing ni, memang lain daripada yang lain. Kami bagi empat bintang.
Jika anda ke sini, jangan lupa nikmati juaga Sup Kambing yang memang menyengat selera. Pekat memikat dengan keenakan tersendiri, hidangan ini disertakan dengan roti potong yang sememangnya sukar untuk ditolak tepi.
Turut ditawarkan menu tempatan seperti Mee Bandung yang mengekalkan resipi asli memikat selera.
Jadi apa tunggu lagi, jom serbu Restoran Nasi Arab Bangi Square yang dibuka jam setiap hari dari 6 petang hingga 12 tengah malam.
MalaysiaGazette akan memperkenalkan program Makan Apa Tu? bermula April ini. Anda berminat untuk kami review restoran, gerai atau kedai makan, jangan segan silu hubungi kami di Facebook, Twitter dan Instagram kami. Program berbentuk video ini akan disiarkan di portal dan youtube kami. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan