Rabu, 27 Mac 2019

MAS mampu dipulihkan, tetapi bos AirAsia tak minat ambil alih

MALAYSIAKINI

   

Cadangan supaya syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Berhad (MAS) gulung tikar bukan suatu keputusan yang bijak, kata pengasas bersama dan CEO Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes.

Walau bagaimanapun, katanya, beliau tidak berminat mengambil alih syarikat berkenaan.

"Terdapat ramai yang hebat di Malaysia Airlines, ia adalah jenama yang baik ... Saya fikir ia boleh dipulihkan.

"Saya fikir bukan idea bijak untuk menutupnya, harus ada usaha untuk memulihkannya," katanya kepada Channel News Asia di Singapura.
Fernandes turut ditanya mengenai spekulasi bahawa Putrajaya akan mengkaji semula cadangan pertukaran saham antara pemegang saham utmaa AirAsia dan MAS.

Jawabnya, fokus semasa AirAsia adalah untuk mengembangkan perniagaan digital.

"Saya sudah ada banyak di pinggan... pinggan saya sekarang penuh... kami mahu memperluaskan perniagaan digital kami," katanya.

Fernandes menegaskan bahawa perniagaan digital akan mendorong pertumbuhan masa depan AirAsia.

MAS yang sebelum ini bergelut menerima tamparan hebat apabila pada 2014, dua pesawatnya terhempas.

Penerbangan MH370 masih hilang manakala Penerbangan MH17 ditembak di ruang udara Ukraine oleh pemberontak yang disokong oleh Rusia.
MAS kemudiannya dibubarkan dan diambil alih oleh Khazanah Nasional Bhd sebagai sebahagian daripada pelan menyelamat.

Khazanah kemudian menyuntik sejumlah RM6 bilion kepada MAS, dengan separuh daripadanya terpaksa dilupuskan.

Pelupusan itu yang merangkumi kira-kira separuh daripada kerugian Khazanah pada 2018, menyaksikan dana kekayaan negara mencatatkan kerugian.


Tiada ulasan: