Seorang ulama PAS mempertahankan pendiriannya kerana bersikap berbeza semasa menerima dan menolak kerjasama parti itu dengan DAP sebelum ini.
Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik berkata ada pihak yang mengecamnya atas pendirian sebegitu dan keadaan sama berlaku ketika parti terbabit bekerjasama dengan Umno.
"Mereka (pengkritik) mengatakan saya bermain dengan hujah," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Mokhtar yang juga ketua Dewan Ulama PAS Pahang berkata pihak yang mengecamnya perlu tahu bahawa politik itu sebahagian daripada disiplin bidang fikah.
Justeru kata Mokhtar bidang berkenaan dinamakan fikah siasah atau fikah politik.
Apabila disebut fikah, maka hukum akan sering berubah-ubah.
"Mana ada hukum fikah yang tak berubah secara mutlak?" katanya lagi.
Terdahulu Mokhar memberi penjelasan mengenai sikapnya yang memberikan hujah untuk menerima atau menolak kerjasama PAS dengan DAP - sebelum ini - serta Umno sekarang.
DAP dulu lain kini lain
Bagaimanapun Mokhtar berkata beliau tidak marah dengan cemuhan itu kerana beranggapan pembaca tidak memahami apa yang ditulisnya.
Ada kemungkinan juga kata Mokhtar pihak terbabit tidak membaca kenyataan itu dengan tenang.
"Bahkan mungkin mereka tak membacanya pun. Apabila nampak di bawah artikel itu nama saya, maka semuanya dikira tidak betul dan perlu diberi komen negatif," katanya.
Menurut beliau sesuatu hukum yang disusun dan dibina atas dasar kepentingan dan keperluan akan mengikut keperluan berkenaan.
"Ia berubah mengikut perubahan keperluan itu," katanya.
Disebabkan hukum berubah mengikut keadaan dan keperluan semasa, katanya, maka datanglah ijtihad ulamak.
"Contohnya, DAP dahulunya tidak bersifat menolak Islam secara nyata, bahkan sedia bersetuju untuk tidak bersetuju. Lalu PAS boleh bersama dengan mereka.
"Namun apabila mereka mula menyerang PAS dan dasar-dasar Islam yang dibawa PAS, maka haram pula untuk PAS menyetujui dan bersama dengan mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan