Serangan pengganas seperti telah dirancang dengan amat teliti
CHRISTCHURCH
– Bandar raya Christchurch, New Zealand pada Jumaat diselubungi
ketakutan, selepas dua serangan tembakan menyasarkan dua buah masjid di
pusat bandar itu mengorbankan 49 nyawa.
Jalan raya
di bandar raya itu sunyi sepi serta lengang berikutan nasihat Datuk
Bandar Christchurch, Lianne Dalziel supaya orang ramai “tinggal di dalam
rumah” demi keselamatan, memandangkan mungkin ada suspek yang masih
bebas.
Tinjauan
mendapati semua sekolah ditutup, ibu bapa sibuk mendapatkan maklumat
terkini, kelihatan ada yang menangis hiba membaca berita kejadian itu
sambil ditenangkan rakannya.
“Hari ini merupakan hari paling malang buat New Zealand. Jelas ia serangan pengganas dan telah dirancang dengan amat teliti.
“Dua bom
yang dipasang pada kereta berjaya dimatikan pihak polis. Tahap
keselamatan di New Zealand dinaikkan ke tahap tertinggi,” kata Perdana
Menteri, Jacinda Ardern pada sidang akhbar di Wellington.
Seorang
pelajar sekolah menengah berusia 14 tahun di Christchurch memberitahu
media tempatan, bapa saudaranya seorang daripada mangsa yang ditembak.
“Lebih 50 das tembakan kedengaran,” katanya mengimbau detik kejadian.
Sementara media melaporkan terdapat kira-kira 110 das tembakan dilepaskan.
Empat
suspek, termasuk tiga lelaki dan seorang wanita, ditahan oleh polis
setakat ini. Seorang daripada suspek dipercayai warga Australia yang
perbuatan kejamnya dirakam dan video itu kini tular di media sosial.
Jalan raya utama di Christchurch dikawal ketat polis dan tidak membenarkan orang ramai berada berhampiran lokasi kejadian.
Helikopter kelihatan berlegar-legar diruang udara diselang-seli bunyi siren polis.
“Saya masih menggigil dan trauma,” kata seorang saksi. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan