Selasa, 19 Mac 2019

Pencemaran kimia: suspek ada rekod jenayah, kata polis


   

Beberapa suspek yang ditahan berhubung pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor didapati mempunyai rekod jenayah, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata kesemua sembilan lelaki warga tempatan terbabit yang direman sehingga Sabtu ini, merupakan pekerja di beberapa buah syarikat.

“Siasatan kini sedang rancak dijalankan dan kita yakin akan dapat kenal pasti mereka yang bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara koperasi Polis Diraja Malaysia, Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia di Bukit Aman hari ini.

Mohamad Fuzi juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan dibuat bagi membantu siasatan kes itu.

“Proses siasatan dilakukan oleh polis Johor dan diselaraskan (oleh pegawai) di Bukit Aman dan fokus sekarang ialah jenayah terhadap alam sekitar,” katanya.

Semalam, Mohamad Fuzi dilaporkan berkata sembilan lelaki ditahan pada Ahad dengan dua daripada mereka ditahan di Johor sementara tujuh lagi di luar negeri itu.

Insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim dikesan pada 7 Mac selepas ramai pelajar, guru dan petugas sekolah mengalami sesak nafas, muntah, loya dan sakit tekak.

Pada 13 Mac, Kementerian Pendidikan mengarahkan 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang ditutup berikutan beberapa gelombang “Simptom Kim Kim” yang berlaku di beberapa sekolah sebagai langkah berjaga-jaga.-Bernama


Tiada ulasan: