Selasa, 19 Mac 2019

Mufti Perlis: Harap kali ini betul-betul ditutup

MALAYSIAKINI

   

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap kerajaan tidak berkompromi dan menutup terus pusat tahfiz yang mengeksploitasi kanak-kanak bagi mengaut keuntungan.

Beliau berkata, perkara ini sudah lama berlaku dan banyak aduan telah dikemukakan, namun ia tetap beroperasi.

"Jika benar ditutup Alhamdulillah. Pohon agar jangan pula nanti dibuka kembali atas cerita yang lain pula. Kesian anak-anak yang masih remaja disuruh membuat jualan di sana sini atas nama tahfiz.

"Padahal mereka patut berada di sekolah. Apabila berjumpa mereka, berat untuk melihat anak-anak sekolah menagih simpati ke sana ke mari membawa barang jualan atas nama agama," tulis beliau dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
 Sebelum ini tular satu video di media sosial kononnya 211 anak yatim dan fakir miskin diarah mengosongkan penempatan mereka.

Melalui video berdurasi 3 minit 37 saat ia merakamkan keadaan kanak-kanak yang sedang menangis apabila mereka diarah berpindah keluar daripada kediaman terbabit.

Semalam, kerajaan negeri Kedah mengarahkan pusat tahfiz amal yang beroperasi di Sungai Petani itu ditutup serta-merta selepas ia beroperasi secara haram termasuk dipercayai mengeksploitasi pelajar untuk mengutip derma.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah, Dr Ismail Salleh berkata, arahan itu dikeluarkan berdasar Seksyen 5 Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007.

Selain itu, katanya, ia turut dipercayai beroperasi sebagai pusat rawatan amal serta menggunakan taktik licik menipu pihak berkuasa dan orang ramai untuk mengaut keuntungan.

Ismail berkata, pusat tahfiz itu dikesan mengeksploitasi kira-kira 120 pelajarnya termasuk 11 anak yatim di situ dengan mengarahkan mereka meminta derma sambil menjual produk.

Sementara itu Mohd Asri berkata, isu yang berlarutan sejak sekian lama ini sering menjadi persoalan kerana tiada tindakan tuntas diambil selama ini.

"Sering kita tertanya, mengapa kerajaan membiarkan hal ini sejak begitu lama. Entah berapa ratus atau mungkin ribuan aduan telah dibuat oleh orang ramai.

"Simpati kepada anak-anak yang masih remaja. Tertanya kita, apakah rahsia sehingga aktiviti seburuk ini boleh berterusan sejak sekian lama. Menghairankan!

"Harap kali ini betul-betul ditutup dan diambil tindakan," kataya lagi.

LIHAT FB DI SINI




Tiada ulasan: