ULASAN l Semenjak Umno dan PAS
berunding untuk mengukuhkan kesatuan orang Melayu, pelbagai kata nista
dilemparkan. Umno dan pemimpinnya digelar ‘Malay supremist’, rasis dan
pelbagai gelaran lain. Umno dituduh menggunakan sentimen perkauman dan
agama untuk meraih sokongan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh bahawa kerjasama Umno-PAS adalah a declaration of war against the non Malays atau 'perisytiharaan perang terhadap bukan Melayu'.
Pengerusi
DAP Sarawak, Chong Chieng Jen pula menyokong kenyataan Pengerusi DAP
Perak, Nga Kor Ming yang berspekulasi bahawa kerjasama orang Melayu
Islam Umno-PAS akan boleh menjadikan Malaysia sebagai negara Taliban
(pertubuhan pengganas di Afghanistan).
Kita terfikir. Mengapa
sangat kita cuba memperkasa perpaduan yang semakin menipis, mereka
dengan rakus memperkosanya dengan rasa prejudis? Pada saya, semua
tindakan melulu, malah celupar, sebegini menghantar dua isyarat jelas.
Pertama
DAP dan sekutunya amat gerun dengan cabaran yang akan mereka tempuhi
apabila orang Melayu bersatu pada tahap yang tidak pernah terlihat
sebelum ini.
Yang risau, tidak senang dan berasa tergugat bukannya
masyarakat bukan Melayu secara umum.
Tetapi hanya DAP dan sekutunya
Bersatu, yang tidak mewakili suara bukan Melayu yang lain.
Kebatilan dan kejahilan
Mereka sangat sedar bahawa dampak kesatuan orang Melayu yang luar biasa akan melenyapkan DAP dan Bersatu dari persada kuasa.
Mereka tahu, naratif no religion no race Malaysian Malaysia
tidak akan diterima, ditolak dan ditentang oleh orang Melayu. Mereka
juga sedar bahawa Bersatu sehingga sekarang tidak boleh menjadi
alternatif yang diterima kepada perjuangan politik bangsa Melayu.
Kedua, semua tindakan DAP menggambarkan betapa mereka selama ini hidup dalam kebatilan dan kejahilan.
Bagaimana
mungkin kesatuan orang Melayu itu disamakan secara membuta tuli dengan
‘perang terhadap bangsa bukan Melayu’. Tiada akal yang waras dapat
menerima hujah yang sangat dangkal, sempit dan tidak bertanggungjawab
sebegini.
Ternyata pimpinan DAP sangat jahil tentang perjalanan,
pengalaman, sejarah dan aspirasi politik Umno dan PAS. Malah, aspirasi
dan amalan bernegara di Malaysia.
Sanubari kaum
Oleh
itu, tanggungjawab moral perjuangan Umno dan PAS selepas ini bukan
sahaja untuk memperkukuhkan kesatuan bangsa Melayu dan orang Islam.
Tetapi juga melakukan ikhtiar memerangi ‘kebatilan dan kejahilan DAP’
atau apa yang saya panggil the war against ignorance.
Kerana
jika tidak dibendung, kejahilan DAP ini akan meresapi sanubari kaum
bukan Melayu. Dan, kita sendiri tahu, tiada perkara baik akan terhasil
dari sesuatu yang berpaksikan kejahilan yang menebal.
Wahai DAP,
selama 60 tahun Umno menjadi parti induk BN, selama 60 tahun jugalah
pelbagai parti politik dengan pelbagai ideologi dan fahaman politik dari
seluruh pelosok negara muncul, bekerjasama dan mengurus tanahair ini
dengan aman dan berjaya, melalui politik permuafakatan.
Selama 60
tahun, Umno dan BN mengurus negara ini dengan jalan sederhana. Jalan
politik berhikmah. Jalan politik yang mengiktiraf hak dan keperluan
semua. Jalan politik yang tidak ekstrem atau melampau.
Dan
selama 60 tahun jugalah, pelbagai bangsa hidup dengan rukun dan damai
di tanah air ini. Tiada sekali pun Umno dan BN membenarkan konflik
perkauman tercetus, kecuali peristiwa 13 Mei yang semua orang tahu,
bukan dimulai oleh orang Melayu.
Pasti tidak sempurna
Benar
dalam masa 60 tahun tersebut, Umno dan BN pasti tidak sempurna dan
terlepas dari segala khilaf. Umno adalah gerakan amal bakti yang
mengemudi pentadbiran negara melalui penglibatan politik.
Pasti
ada perhitungannya yang tersasar, yang tidak sempurna. Dan adalah amat
mustahil semua tindakan Umno akan memuaskan hati atau menggembirakan
semua pihak setiap masa.
Namun selama 60 tahun tersebut, rekod
Umno mengurus kepelbagaian Malaysia adalah sangat luar biasa. Malah,
menjadi suri teladan kepada banyak pihak. Adalah amat sempit dan
memalukan pemikiran DAP ini jika mereka beranggapan bahawa Umno dan PAS
akan membelakangkan jalan sederhana.
Percayalah, Umno dan PAS
bersatu demi watan. Kami dalam Umno dan PAS bukan golongan mereka yang
baru berpolitik setahun dua. Malah bukan mereka yang terdorong
berpolitik kerana kuasa semata-mata.
Kami berpolitik untuk memberi
darma bakti pada bangsa dan tanahair. Kami sangat mengerti, bahawa
tiada satu kaum dapat mengurus Malaysia dengan aman dan baik secara
terasing dan bersendirian. Ia mesti dilakukan bersama-sama dengan bangsa
lain.
Kami
sedar, jika Umno ingin berkuasa semula, maka formulanya hanya satu.
Orang Melayu mesti bersatu dan mengurus Malaysia dengan bukan Melayu
demi kesejahteraan bersama.
Tiada Pelan B dan Pelan C. Hanya satu Pelan, iaitu Umno ++ untuk Malaysia.
Seperti Perikatan dahulu dan kemudiannya Barisan Nasional. Dan formula itu jugalah yang diciplak oleh PH.
Tetapi
berikanlah ruang untuk kami menguruskan perpaduan orang Melayu melalui
kerjasama dengan PAS. Ini perihal bangsa Melayu yang telah sangat
berpecah dan biarlah kami menanganinya dengan kebijakan kami.
Musibah di negara orang
Kesatuan
Melayu melalui Umno dan PAS tidak akan memundurkan kemajuan bangsa lain
mahupun merencatkan kemajmukan Malaysia. Malah, perpaduan bangsa Melayu
sangat diperlukan untuk mengukuhkan kemajmukan Malaysia.
Yang
menjarakkan pelbagai kaum di Malaysia ini bukan Umno tetapi DAP. Lihat
sahaja bagaimana ia melabel pelbagai pihak yang tidak bersama dengan
mereka dengan bermacam-macam nama dan jolokan. Yang menggunakan
perkataan ‘perang’, pengganas, ekstremise dan ‘Malay supremist’.
Sehinggakan
musibah yang melanda negara orang pun dijadikan contoh untuk berpolitik
dan menghina kami. Kerana itulah Umno sangat berterima kasih dengan MCA
dan MIC. Di sebalik
serangan dan kata nista terhadap kerjasama
Umno dan PAS, kedua-dua parti ini memutuskan untuk terus mendukung
politik sederhana dan berhikmah melalui BN.
Lalu kepada semua
masyarakat bukan Melayu, ini janji kami. Bahawa dalam segala kelemahan,
kekurangan dan kebaikan lepas, kami akan terus berpegang kepada semangat
bersederhana dalam amalan politik kami.
Umno tidak akan sama
sekali membelakangkan aspirasi setiap warganegara Malaysia yang
pelbagai. Umno telah dan akan terus memilih jalan sederhana dan jalan
berhikmah kerana inilah ajaran agama kami, nilai bangsa kami dan budaya
masyarakat kami.
Umno akan pincang
Kami
tidak akan sama sekali membelakangkan masyarakat bukan Melayu kerana
perjalanan politik kami yang berpuluh tahun itu sarat sekali dengan
cerita terbaik sebuah masyarakat majmuk yang dicontohi serata dunia.
Dan
akan kami bangunkan ketumbukan politik yang bukan sahaja sederhana dan
progresif. Tetapi akan kami lancarkan ikhtiar memerangi ‘kejahilan’ yang
dipelopori oleh DAP dan Bersatu untuk kepentingan politik mereka.
The war against ignorance ini
penting kerana golongan bukan Melayu mesti diselamatkan dari terus
terpesong dengan politik sempit, dangkal dan jahil, ala DAP.
Pada
DAP, apabila orang Melayu berpecah, saling bertekak, itu lebih baik.
Lebih mudah untuk mereka mengambil kesempatan. Strategi dan amalan pecah
dan perintah ini bukan perkara asing dalam perjalanan panjang sejarah
negara kita.
Guru utamanya ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
Yang
penting, demi masa, Umno dan PAS, dalam kerjasamanya, bukan sahaja akan
mengukuhkan perpaduan ummah. Tetapi akan mempertahankan kepentingan
bukan Melayu walau apa pun harganya. Kerana, bukan Melayu itu bukan
aktor tambahan.
Mereka adalah sebahagian dari negara ini. Malah, mereka adalah sebahagian dari kami.
Tanpa bukan Melayu, perjuangan Umno untuk watan akan pincang dan terencat.
Kerana
telah termaktub janji Umno dahulu semasa merintis kemerdekaan bersama
MCA dan MIC.
Bahawa negara ini akan menjadi tanahair bersama. Semua
orang punya peluang dan punya tempat dalam naungan tanahair ini.
Pada
watan inilah, akan kita semua, Melayu, Cina, India dan semua Bumiputera
lain, tumpahkan kasih sayang dan sumbangsih yang tidak berbelah bahagi
dan setulusnya.
*DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN adalah Naib Presiden Umno
Tiada ulasan:
Catat Ulasan