Ahad, 24 Mac 2019

Kenyataan Pengerusi SPR cetus kebencian, sentimen negeri

tyrazalhe

Usah kaitkan seluruh rakyat jika beberapa orang saja buat maksiat: MB


 
BANGI – Kenyataan berbaur penghinaan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Azhar Azizan Harun terhadap rakyat Kelantan dianggap keterlaluan dan satu penghinaan.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, kenyataan mengaitkan rakyat Kelantan pergi ke kelab malam apabila berada di Kuala Lumpur, boleh mencetuskan perasaan benci serta prasangka negatif rakyat negeri lain.

Bahkan, beliau berkata, kenyataan seumpama itu juga boleh mencetuskan sentimen kenegerian berikutan perkara itu tular di media sosial serta akhbar tempatan.

“Beliau sebagai seorang Pengerusi SPR sewajarnya lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan umum dan seharusnya lebih mengetahui tentang fakta sejarah Kelantan yang sinonim dengan panggilan Negeri Serambi Mekah yang menggambarkan dekatnya mereka dengan kehidupan beragama.

“Selain itu, beliau perlu faham bahawa sesiapa sahaja berhak memilih pentadbiran Islam sebagai asas pemerintahan negeri. Hal itu adalah suatu perkara yang baik dan tidak sepatutnya dijadikan isu.

” Sekiranya ada beberapa orang yang berbuat maksiat, adalah salah mengaitkan dengan seluruh rakyat Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Azhar menerusi sebuah portal berita berkata, cadangan pendaftaran pengundi secara automatik pada pilihan raya akan datang sukar dibuat kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan seseorang mengundi di tempat mula-mula dia mendaftar sebagai pengundi walaupun mungkin tinggal di tempat lain.

Kata Azhar, disebabkan perkara itu, seramai 60,000 orang Kelantan balik ke negeri ini untuk mengundi menyokong hudud sedangkan pada masa-masa lain mereka berada di Kuala Lumpur dan pergi ke kelab malam.

Susulan itu, rata-rata warganet mengecam beliau kerana dianggap menghina orang Kelantan

Tiada ulasan: