Rabu, 20 Mac 2019

Boleh tarian Makyung jika patuh syariah: Exco Kelantan

sitifatimah 

Penilaian dilakukan Majlis Kebudayaan Kelantan bersama mufti, ulama


KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan tidak mempunyai halangan untuk membenarkan kesenian Makyung dipersembahkan kepada umum sekiranya kesenian itu dipastikan mematuhi syariah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Negeri, Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, dalam konteks itu, penilaian dilakukan oleh Majlis Kebudayaan Kelantan yang dianggotai oleh mufti dan ulama.

“Kita tiada halangan (kita) membenarkan kesenian itu dipersembahkan jika ia tidak bertentangan dengan syariah,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Abd Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) berhubung langkah kerajaan Kelantan dalam memartabatkan seni warisan di negeri ini.

Minggu lepas pelapor Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Karima Bennounce menggesa Kelantan menarik balik larangan persembahan Makyung, wayang kulit dan lain-lain bentuk persembahan tradisional Melayu bagi memastikan kesenian dan budaya itu terus hidup.

PAS ketika mengambil alih negeri ini pada 1990 bertindak mengharamkan persembahan tradisional yang dianggap mengandungi unsur bertentangan Islam. – Bernama


Tiada ulasan: