UNIVERSITI
Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mendominasi kutipan pingat di Minggu
Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2019 apabila berjaya meraih 38 pingat
emas, 50 perak dan 51 gangsa.
Lebih
manis apabila produk ciptaan penyelidik UniSZA, Dr Abd Jamil Zakaria
iaitu ‘Superb Dairy Fertilezer’ (SDF) turut dinobatkan sebagai penerima
Anugerah Utama pada program itu.
Jamil
berkata, produk diciptanya adalah baja inovatif baru dalam industri
tenusu dan dirumuskan untuk menyediakan zat seimbang diperlukan dalam
pemakanan kambing tenusu bagi menghasilkan susu berkualiti dan
berkuantiti tinggi.
“Gabungan
keseimbangan nitrogen, fosforus, kalium dan kalsium dengan elemen surih
(TE) dalam SDF terbukti dapat meningkatkan pertumbuhan, hasil dan
kualiti rumput serta meningkatkan kandungan protein selain kalsium dalam
susu.
“Ia turut meningkatkan jumlah rumput sihat untuk makanan ternakan.
“SDF
membekalkan nutrien lengkap dan seimbang di samping diperkayakan dengan
kalsium terutama untuk pertumbuhan cepat pastura bagi makanan haiwan
tenusu,” katanya.
Beliau berkata,
penggunaan SDF mudah dan praktikal turut menjimatkan apabila hanya lima
hingga 10 gram (g) diperlukan untuk setiap tanaman serta tiada baja
kimia tambahan diperlukan, sekali gus dapat mengurangkan pencemaran
persekitaran.
Menurutnya, peningkatan penghasilan dan pengeluaran susu dapat meningkatkan ekonomi dan pendapatan usahawan ternakan tenusu.
“Cuma masalahnya, penternak kurang memberi perhatian kepada rumput sebagai makanan utama ternakan.
“Harapan
saya supaya penternak tenusu sedar akan kepentingan baja untuk rumput
dan menggunakan baja ini untuk menambahkan jumlah hasil tenusu,”
katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib
Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Badlishah Ahmad berkata, MPI
2019 diharap menjadi landasan kepada produk penyelidikan dan inovasi
dikomersialkan untuk manfaat masyarakat.
“Kami
harap semua produk terbabit diketengahkan kepada pemain industri bagi
tujuan pengkomersialan, sekali gus menjadikan universiti lebih mampan
dan berdaya maju.
“Dengan tema
‘Peradaban Insan Melalui Kelestarian Penyelidikan dan Inovasi’, MPI 2019
mampu menjadi medan kepada penyelidik dan penuntut menzahirkan idea
inovasi kepada produk bermanfaat bagi kesejahteraan sejagat,” katanya.
MPI
yang berlangsung selama dua hari di UniSZA itu mempertandingkan
sebanyak 420 produk penyelidikan dan inovasi hasil penyelidik dari
seluruh Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta pelajar sekolah rendah dan
menengah di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan