AUTA

PUNCAK ALAM - Kecoh dalam media sosial selepas tular video aksi kejar mengejar yang mengaitkan sekumpulan lelaki yang memakai jubah hitam di UiTM Kampus Puncak Alam sejak 31 Oktober lalu.

Lebih mengejutkan, kumpulan berjubah hitam itu dikatakan bebas bergerak dari asrama ke asrama yang kononnya mahu berdakwah dengan ajaran sesat dan ada dikatakan dipukau.

Gambar kertas yang tampal di depan pintu asrama dengan kenyataan 'kami dah memang sesat. Jangan susah-susah sesatkan kami. Sila pulang' yang disebarkan dalam media sosial juga dikatakan dikaitkan dengan kumpulan itu yang cuba masuk ke bilik asrama.

Turut tular rakaman video menunjukkan kereta polis dan anggota polis menyerbu sebuah bangunan asrama pada waktu malam bagaimanapun masih belum dipastikan ianya membabitkan kes sama.
Antara gambar yang dimuatnaik dalam media sosial dikaitkan dengan gangguan geng jubah hitam itu.

FAKTA

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Keselamatan UiTM Cawangan Selangor, Deputi Superintendan Polis Bantuan Mohd Iqbal Abdullah berkata, penularan maklumat itu tidak benar.

“Hasil siasatan mengesahkan maklumat yang tular berkaitan kumpulan berkenaan adalah tidak tepat dan perkara ini perlu dihentikan kerana boleh mengganggu kententeraman awam dalam universiti.

“Tiada kejadian seumpama itu berlaku di dalam kawasan ini dan setakat ini, persekitaran UiTM Kampus Puncak Alam masih dalam keadaan baik,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.