Ahad, 18 November 2018

Calon PKR, keputusan PKR, Anwar jawab isu calon DUN Rantau





PETALING JAYA: Presiden baharu PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata calon bagi pilihan raya kecil DUN Rantau akan dimaklumkan kepada majlis presiden Pakatan Harapan (PH), lapor Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa calon bagi DUN Rantau, Negeri Sembilan akan ditentukan majlis presiden gabungan itu.

“Ini calon PKR, keputusan PKR…tetapi seperti Dr Mahathir sebut, kita akan maklumkan pada majlis presiden kerana menghormati PH,” kata pada sidang media selepas Kongres Nasional PKR ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata majlis presiden PH akan menyelesaikan siapa akan jadi calon gabungan itu selepas beberapa nama daripada kalangan parti komponen disebut-sebut menjelang PRK itu tidak lama lagi.

Dr Mahathir mengingatkan isu parti mana yang akan meletakkan calon tidak perlu wujud kerana calon itu nanti akan mewakili PH.

Sebelum ini, Anwar dalam ucapan penangguhan kongres berkata calon DUN Rantau pada pilihan raya umum lepas, Dr S Streram sesuatu untuk sekali lagi bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti.

Anwar memberitahu para perwakilan bahawa Streram telah dinafikan hak untuk bertanding pada PRU lalu.

“Saya nak beritahu, Dr Streram telah dinafikan haknya semasa PRU14. Maka beliau cabar dan menang dalam kes itu. Saya harap, hal ini akan dapat dipertimbangkan pemimpin di Negeri Sembilan dan biro politik,” katanya.

Anwar berkata faktor kawasan tersebut mempunyai ramai pengundi dalam kalangan masyarakat India juga tidak boleh diketepikan.

Menurut beliau, PKR merupakan satu-satunya parti yang diterima masyarakat India kerana dianggap “wadah harapan” kepada mereka.

“Saya tidak sanggup sia-siakan harapan mereka, saya berjanji akan adil,” katanya.

Pada 23 Mei lepas, Dr Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Pada 16 November lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan serta merta berikutan kemenangan Mohamad di kerusi itu pada pilihan raya umum lepas adalah tidak sah dan terbatal.

Tiada ulasan: