Rabu, 21 November 2018

PAS, UMNO TUNTUT PM PECAT MOORTHY




Barisan Ahli Parlimen pembangkang membabitkan BN dan PAS menuntut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melucutkan jawatan P Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana bersikap rasis.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO berkata, isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang telah menimbulkan polemik sehingga menyebabkan berlaku perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Ismail Sabri berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perpaduan, beliau perlu berfikir untuk memupuk perpaduan bukannya memecah-belah kaum.

“Oleh sebab itu, kami berpandangan beliau tidak layak menjadi menteri perpaduan. Kami minta Perdana Menteri lucut jawatan beliau sebagai menteri,” kata beliau dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, pada Isnin.

Bukan sekadar disifatkan gagal mengendalikan isu ratifikasi ICERD, desakan supaya jawatan Waytha Moorthy dalam Kabinet dilucutkan juga rentetan penularan video wawancara Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu di Belanda kira-kira 10 tahun lalu baru-baru ini.

Dalam wawancara itu, Waytha Moorthy mendakwa kononnya masyarakat India di Malaysia didiskriminasi di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan banyak pihak melihat beberapa fakta seperti telah dimanipulasi.

Nada sama disuarakan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang percaya Waytha Moorthy tidak layak menjadi menteri menjaga perpaduan.

Timbalan Presiden PAS itu turut menyelar Waytha Moorthy berikutan kenyataan beliau di dalam wawancara itu yang memfitnah kononnya 10,000 kuil dirobohkan dan hak bukan Melayu, Islam dinafikan di negara ini.

“Beliau perlu tarik balik, minta maaf dan letak jawatan bagi menjaga keharmonian negara,” katanya.


Tiada ulasan: