Rabu, 21 November 2018

Pengurusan baru 1MDB siasat dakwaan juruaudit 'bohong' pada PAC

MALAYSIAKINI

   

Pengurusan baru 1MDB sedang menyiasat dakwaan pegawai kanan syarikat audit Deloitte Malaysia memberi “keterangan bohong” terhadap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan 1MDB.

“Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pihak pengurusan baharu 1MDB kini sedang menyiasat perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan hasil siasatan serta nasihat daripada Jabatan Peguam Negara,” kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata demikian dalam jawatan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Kepong) yang mahu tahu tindakan terhadap perkara itu.

Lim dalam pertanyaan lisannya mendakwa pegawai kanan itu telah mempertahankan pengauditan 1MDB yang didakwanya palsu.

Deloitte pada 27 Julai 2016 berkata maklumat dalam saman Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan rampasan aset berkaitan 1MDB, menjejaskan audit mereka pada tahun 2013 dan 2014.

Oleh itu, kenyataan kewangan 1MDB pada tahun-tahun itu, yang ditandatangani Deloitte pada 28 Mac 2014 dan 5 November 2014 tidak boleh lagi digunakan, kata syarikat itu.

Kenyataan itu muncul selepas 1MDB mengumumkan Deloitte sedang menarik diri sebagai juruaudit mereka, menjadikannya yang ketiga berbuat demikian sejak 2009.

Akaun-akaun 1MDB dari 2010 hingga 2012 diaudit oleh KPMG. Perkhidmatan syarikat itu bagaimanapun ditamatkan pada Disember 2013.

Menurut laporan PAC, khidmat KPMG ditamatkan selepas enggan menandatangani akaun-akaun tanpa perincian berkaitan pelaburan bernilai AS$$2.32 bilion.

The Wall Street Journal melaporkan firma Ernst & Young ditamatkan pada 2010 selepas membangkitkan persoalan sama.

Lembaga 1MDB ketika kerajaan lama BN bagaimanapun berkata mereka yakin tiada sebarang salah laku berlaku.

Tiada ulasan: