DI SEBALIK kehangatan malam kemuncak Gegar Vaganza (GV) musim kelima yang melabuhkan tirainya semalam, kontroversi demi kontroversi terus tercetus sehingga mengheret perhatian netizen untuk terus memperkatakan tentang program ini.

Terbaharu, bekas penaja GV empat musim terdahulu, Datuk Seri Vida, telah meluahkan kekesalannya berhubung layanan yang diterimanya ketika menghadiri malam final GV5 yang didakwa seperti tetamu tidak diundang.

Selain luahan rasa tidak puas hati terhadap produksi GV, Vida turut berkongsi perasaan sedihnya apabila tidak dipedulikan pengacara GV, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

“Nabil Jihan tiga kali lalu depan saya, usahkan tegur pandang pun tak. Ya ALLAH. Begini rupanya ya, nasib penaja,” luahnya.

Status tersebut telah menarik perhatian ramai pengikut Vida yang rata-ratanya bersimpati atas apa yang berlaku kepadanya. Tidak kurang yang mula mengecam Nabil dan Jihan yang disifatkan tidak sepatutnya bersikap seperti itu terhadap Vida yang telah empat musim bersama GV.

Bagaimanapun Nabil yang membaca status tersebut, membalas balik kenyataan Vida yang disifatkannya sebagai satu fitnah terhadapnya. Lebih mengejutkan, Nabil membangkitkan soal hutangnya yang belum dilunaskan usahawan kosmetik itu.
“Kalau nak fitnah pun agak-agak laa. Kalau cakap kami tak tegur, ramai kat depan itu yang nampak kami panggil. Tetapi takpelah, kalau dah fitnah, kami OK saja. Nak risau buat apa, kan ALLAH lebih mengetahui.

“Apa pun, hutang saya bila nak bayar yaa? Dah dua tahun lebih tunggu. Kalau ada apa-apa masalah boleh whatsapp yaa. Tak payah guna IG atau FB nak aib dan fitnah orang,” balas Nabil di ruangan komen status tesrebut.
Hutang apa yang dimaksudkan Nabil tidak dapat dipastikan, apatah lagi Vida juga memberi reaksi terkejut dengan kenyataan pengacara itu.

“Tiba-tiba pula ada hutang,” balasnya.

Apa pun yang berlaku, semoga segala masalah dan salah faham dapat diselesaikan dengan sebaiknya oleh kedua-dua pihak dan di dikongsikan secara terbuka di laman sosial yang tentunya mengundang kecaman netizen.

[ARTIKEL BERKAITAN: Aishah mahu Datuk Seri Vida mohon maaf]