Sabtu, 24 November 2018

Kenyataan PH tolak Icerd tak memadai

 
   
ULASAN | Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak akan meratifikasikan Icerd dialu alukan.

Namun keputusan kabinet ini mesti diperkukuhkan dengan membuat pendirian rasmi dalam sidang Dewan Rakyat.

Ini penting supaya usaha meratifikasikan Icerd tidak diteruskan pada masa akan datang. Ini kerana kita bimbang keputusan kabinet ini hanya bersifat sementara.

Dalam pada itu, isu Icerd ini semestinya menjadi pengajaran besar kepada kerajaan - terutama pimpinan parti parti sama ada PKR, DAP atau yang lain - agar berhati-hati ketika mencadangkan sesuatu perkara, terutama berkaitan perkara sensitif.

Apa lagi yang membelakangkan hal berkaitan kontrak sosial terutama Perlembagaan Persekutuan.
Jangan sesekali menyentuh perkara berkaitan kepentingan Islam, institusi raja, kepentingan Melayu dan bumiputera.

Apabila disebut perkara ini bukan bermakna ia mengetepikan kepentingan agama dan kaum lain.

Perkara berkenaan dipertahan kerana ianya telah lama dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bukan sekadar Icerd saja
 
Pada saya lebih baik kerajaan menumpukan usaha kepada pembelaan rakyat yang ketika ini tertekan dengan pelbagai isu terutama berkaitan kenaikan kos sara hidup dan kejatuhan harga komoditi yang memberikan kesan kepada petani, nelayan dan pekebun kecil.

Semua isu ini sangat jelas tidak ditanggani dengan serius oleh kerajaan.

Justeru Umno akan terus membela apa juga isu yang melibatkan kepentingan Islam, Melayu, bumiputera serta kepentingan kaum kaum lain di negara ini.

Umno akan terus menjadi jurubicara rakyat bagi mempertahan kepentingan rakyat yang tidak dibela oleh kerajaan.

Berkaitan perhimpunan aman Ummah pada 8 Disember ini.

Tunggulah keputusan rasmi pimpinan tertinggi Umno, PAS dan pertubuhan bukan kerajaan yang nanti.

Namun perjuangan Umno tidak terhenti hanya sekadar isu Icerd saja.

Penderitaan yang rakyat hadapi ketika ini dengan pelbagai isu yang ditimbulkan oleh kerajaan akan terus dibela Umno.

Justeru saya fikir himpunan ini perlu diteruskan kerana banyak lagi isu yang dihadapi rakyat ketika ini dan perhimpunan itu boleh bertukar cara kerana perhimpunan ini bertujuan membela rakyat.


*DR SHAMSUL.ANUAR NASARAH ialah ketua penerangan Umno merangkap anggota parlimen Lenggong.

Tiada ulasan: