Sabtu, 24 November 2018

Usah jadikan Kabinet PH kandang ternak menteri melampau

Oleh Athirah Huda Zalhe 

Fikir semula kenyataan minta rakyat beri peluang kepada Moorthy

 
KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia, sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mempertimbangkan semula kenyataannya yang meminta rakyat memberi peluang kedua kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Amir Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, Dr Mahathir diingatkan supaya berfikir semula kenyataan itu, sekali gus tidak menjadikan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai kandang yang menternak menteri-menteri melampau.

“Saya berharap supaya Perdana Menteri berfikir elok-elok. Jangan jadikan Kabinet kandang ternak menteri-menteri yang melampau,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pertahankan Wilayah Islam (Pertiwi) 2018 anjuran Isma di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Ustaz Abdullah Zaik berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir kelmarin, bahawa petisyen yang digerakkan rakyat bukan arahan untuk Moorthy meletakkan jawatan.

Malah, perdana menteri turut meminta rakyat memberi peluang kepada Waytha Moorthy menjalankan tugas dan membetulkan perkara sebelum bergelar menteri, termasuk dakwaannya dalam video 10 tahun lalu yang mendakwa berlaku pelanggaran hak asasi manusia yang serius di Malaysia.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah klip video kenyataan Waytha Moorthy yang memfitnah dan mengaibkan Malaysia di luar negara dengan membuat dakwaan berlaku pelanggaran hak asasi manusia, termasuk diskriminasi hak kaum India.

Waytha Moorthy mendakwa, rakyat Malaysia yang beragama Hindu telah didiskriminasi kerana perlu memeluk Islam jika mahu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam. Dia juga mendakwa rumah ibadat mereka dirobohkan sesuka hati oleh pihak berkuasa negara.

Waytha Moorthy mengangkat sumpah Senator pada 17 Julai lalu, dan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional).

Kali pertama dia dilantik Senator ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak pada 2013 dan menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebelum meletak jawatan 10 bulan kemudian.


Tiada ulasan: