Rabu, 21 November 2018

Annuar: PAS-Umno gabung tenaga, bukan gabung parti

 
   

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa hari ini meminta agar kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mengajak PAS "bercantum" agar tidak disalah-ertikan.

Katanya, maksud sebenar Ahmad Zahid ialah ‘bergabung tenaga’ dan bukannya bergabung parti.

“Saya nak buat penjelasan, bila Zahid jemput PAS bergabung, ia bukan bermaksud bercantum, tetapi bekerjasama.

“Saya faham Wee Ka Siong mungkin bimbang dengan kenyataan Zahid, tetapi ia bergabung tenaga, bukan bergabung parti.

“Bergabung parti tu satu hal yang presiden boleh cakap begitu sahaja, mesti merujuk kepada Majlis Tertinggi (MT) dan berbincang termasuklah dengan BN,” katanya.




Beliau berkata demikian kepada pemberita di parlimen hari ini.

Tak fikir perasaan komponen BN

Beliau mengulas kenyataan Presiden MCA Wee Ka Siong yang menyelar Zahid tidak memikirkan perasaan parti komponen BN.

Wee menegaskan partinya akan memutuskan sama ada mahu terus bersama BN atau tidak pada 2 Disember ini.

Pada 17 November lalu Ahmad Zahid secara terbuka mempelawa PAS untuk bergabung dalam ucapannya di Himpunan Perpaduan Ummah di Pasir Salak.

Mengulas lanjut, Annuar menyifatkan penggabungan Umno dan PAS dalam satu parti yang sama sebagai 'kemungkinan yang sangat jauh’.

“Kalau nak bercakap soal bercantum, kemungkinan terdekat ialah antara Umno dan Bersatu.

“Itu lebih semulajadi sifatnya, kerana keduanya parti yang berasaskan bumiputera-Melayu, dan kepimpinannya juga dari parti yang sama.

“[...] Tapi untuk Umno bergabung dengan PAS, bagi saya agak jauh (kemungkinannya), dan tidak strategik,” katanya lagi

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: