Jumaat, 30 November 2018

ADUN minta Speaker pertimbangkan semula etika pakaian

Manzaidi Mohd Amin

Mohd Imran Tamrin
Mohd Imran Tamrin

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) Selangor meminta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Ng Suee Lim mempertimbangkan semula etika pakaian wakil rakyat.

ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, ini kerana wakil rakyat yang memakai baju Melayu lengkap dengan songkok dan sampin adalah formal.

Katanya, tidak patut Speaker mengenakan larangan itu kerana baju Melayu itu merupakan pakaian kebangsaan yang formal dalam apa sahaja majlis adat istiadat.

“Pakai baju Melayu ketika DUN bersidang tidak patut dilarang sebab ia adalah pakaian formal. Kalau pakai baju Melayu, (tapi) tidak pakai songkok dan sampin, itu memang tidak dibenarkan.

“Ini pakaian formal dan saya harap Speaker beri kebenaran kepada ADUN pakai baju Melayu selain hanya dibenarkan pada hari Jumaat sahaja,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas teguran Suee Lim kepada ADUN Taman Templer dari Parti Amanah Nasional (PAN), Sany Hamzan Rabu lalu kerana memakai baju kebangsaan ketika sesi sidang.

Tegur Suee Lim, pakaian itu mencemarkan kemuliaan dewan dan semua wakil rakyat perlu mematut etika berpakaian ketika menghadiri persidangan DUN. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: