Jumaat, 30 November 2018

Polis tahan Papa Gomo kerana keluar kenyataan berbaur hasutan - IGP

MALAYSIAKINI

   
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini mengesahkan polis telah menahan pengendali laman blog Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris semalam selepas blogger itu memuat naik video berbaur hasutan dalam laman sosial.

Katanya tindakan serupa juga akan diambil pada mana-mana pihak yang didapati cuba menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

"Semua kena sedia maklum, (penahanan) ini ekoran kenyataan beliau yang berbaur hasutan menerusi video yang cuba menaikkan sentimen orang ramai... kita tidak mahu perkara-perkara berkaitan isu perkauman ini dibangkitkan dalam keadaan luar biasa.

"Jika kita biarkan perkara-perkara begini, ia akan menyebabkan masalah lain pula berkaitan isu keselamatan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Perak di Ipoh, hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan yang bersara wajib menyerahkan tugasnya kepada timbalan beliau, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid yang akan memangku jawatan itu berkuat kuasa hari ini.

Sebelum ini dilaporkan akaun Facebook yang menggunakan nama Sir Azri dipercayai milik Wan Muhammad Azri, menyiarkan video langsung bertajuk ‘Ini Tanah Melayu' pada Rabu.

Mengulas perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata polis akan membuka kertas siasatan inkuiri berhubung laporan polis yang dibuat Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Perak V Sivakumar mengenai dakwaan ada usaha menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Kita sedar mengenai perkara ini dan akan ambil langkah perlu untuk memastikan keadaan ini tidak menjejaskan keadaan keselamatan khususnya di Perak," katanya.

Sivakumar membuat laporan polis itu di Balai Polis Dang Wangi pada Rabu bagi meminta siasatan menyeluruh berhubung isu berkenaan, sekali gus memastikan usaha menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat tidak berulang sekali lagi di Perak.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming pada Selasa lalu mengesahkan wujud konspirasi untuk menjatuhkan kepimpinan Ahmad Faizal, berdasarkan pendedahan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi yang mendakwa terdapat pemimpin UMNO Perak menawarkan beliau jawatan menteri besar selain dipelawa meninggalkan PH bagi membentuk kerajaan baharu.- Bernama


Tiada ulasan: