Ahad, 25 November 2018

Guan Eng, Chin Tong saman Azwanddin kerana fitnah

MALAYSIAKINI

   

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan ahli strategi parti Liew Chin Tong akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah kerana fitnah.

Dalam satu kenyataan, pejabat Guan Eng berkata beliau juga telah membuat laporan polis terhadap Azwanddin semalam kerana membuat "fitnah jahat" menerusi video dalam ucapannya, yang bertujuan menimbulkan perasaan syak antara orang Melayu dan Cina.

Ini selepas Azwanddin enggan meminta maaf kepada Lim selepas membuat ucapan dalam video berkenaan yang dirakamkan semasa pelancaran gabungan baru yang dikenali sebagai "Gagasan Kuasa 3" (G3).

Rakaman ini telah beredar secara meluas di media sosial.

"Alangkah malangnya kita terpaksa berhadapan dengan individu dan kelompok sebegini yang hanya mahu membuat onar, sedangkan masa hadapan Malaysia memerlukan semua pihak berganding bahu dan saling bekerja sama untuk membangunkan negara yang memelihara kebajikan untuk semua, tanpa mengira kaum, agama, suku, dan negeri.

Dalam satu kenyataan berasingan, Liew berkata beliau juga akan mengambil tindakan terhadap Azwanddin dan G3 kerana mendakwa timbalan menteri pertahanan itu mengkhianati rahsia pertahanan negara.

Tindakan terhadap Azwanddin itu dibuat selepas beliau menyertai G3, sebuah kumpulan yang baru-baru ini berikrar untuk "berperang dengan DAP".


Tiada ulasan: