ALOR SETAR - Pas Kedah mendesak tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin membuat permohonan ampun secara terbuka kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, desakan itu supaya satu siasatan rapi oleh pihak berkuasa supaya kenyataan seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.

"Perenggan-perenggan terakhir tulisan  wartawan senior (Kadir) dalam  blognya bertajuk 'Selamat Bertakhta Al-Aminul Karim' telah mengguris perasaan rakyat Kedah.

"Tulisan beliau sebenarnya boleh mewujudkan suasana tidak tenteram dalan kalangan masyarakat dalam negeri Kedah, selain mampu mencetuskan prasangka negatif terhadap institusi di Raja dan kesultanan Melayu," katanya, kepada media dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau turut menyoal apakah kenyataan dikeluarkan oleh Kadir seumpama 'pukul anak sindir menantu' ke atas kerajaan PH kerana semua pengurusan istiadat pertabalan Sultan Kedah adalah berada dalam pengetahuan kerajaan.

"Justeru itu, Pas Kedah mahu beliau segera memohon maaf kepada Sultan Kedah, dalam masa sama siasatan rapi oleh pihak berkuasa supaya kenyataan seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan," katanya.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin menulis di laman blognya mengenai istiadat tersebut dan mendakwa Perlembagaan negara meletakkan raja-raja di atas takhta, di dalam istana dengan peruntukan kewangan dan kemudahan yang tidak termimpikan manusia biasa.

Dalam tulisan itu, beliau juga didapati menyatakan mungkin dalam era Malaysia baharu ini, Parlimen dan Dun boleh memaklumkan kepada rakyat mengenai jumlah perbelanjaan diperuntukkan kepada raja-raja.

Susulan itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul Ghani menggesa pihak polis menyiasat wartawan veteran, A Kadir di bawah Akta Hasutan berhubung tulisan di blognya yang mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Kedah.

Beliau mendakwa, tulisan tersebut boleh mencetuskan prasangka buruk seolah-olah Sultan Kedah mengambil kesempatan untuk berniaga dan menyalahgunakan kedudukannya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Gesa siasat A Kadir Jasin hina Sultan Kedah]

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut menafikan dakwaan istiadat pertabalan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah baru-baru ini sesuatu yang membebankan kerajaan negeri.

Menurutnya, semua perbelanjaan mematuhi belanjawan tahun 2018 dan berada dalam kawalan malah Sultan Sallehuddin berkenan untuk tidak menyambut hari keputeraan.

[ARTIKEL BERKAITAN]: http://www.sinarharian.com.my/nasional/pertabalan-sultan-tak-bebankan-kerajaan-rakyat-1.899333