Sabtu, 24 November 2018

Lapor kepada DBKL jika ada salah guna kuasa penguatkuasa – Khalid Samad

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta tampil membuat laporan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jika mendapati berlakunya sogokan wang antara anggota penguatkuasa dengan pengusaha restoran di sekitar ibu kota.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata segala aduan dan laporan terhadap salah guna kuasa tersebut perlu disertakan dengan bukti kukuh supaya siasatan dan tindakan lanjut akan dibuat terhadap anggota penguatkuasa yang terlibat.

“Kalau ada maklumat mengenai kes-kes seperti ini, buatlah laporan secara rasmi, kalau rasa tak yakin buat kepada DBKL, dengan timbalan menteri atau saya ataupun staff saya pun boleh tetapi ia perlu disertakan dengan bukti yang kukuh.

“Mereka tidak usah takut untuk membuat laporan, tidak semestinya perlu mendedahkan identiti untuk mengadu dan jika tak buat laporan macam mana nak membendung amalan itu? ” katanya kepada pemberita selepas Majlis pelepasan peserta ‘Rain Forest Challenge’ di sini, hari ini.

Khalid berkata demikian bagi mengulas dakwaan Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng terhadap sogokan wang antara penguatkuasa DBKL dengan pengusaha restoran untuk membenarkan mereka berniaga di kawasan-kawasan dilarang, terutamanya di petak-petak parkir awam.

Semalam, Lim dipetik laporan sebuah akhbar Bahasa Inggeris berkata sekurang-kurangnya 10 restoran telah menyalahgunakan petak parkir untuk perniagaan mereka di sekitar Metro Perdana Kepong.

Lim berkata meskipun aduan dibuat dan tindakan telah dikenakan, mereka dilihat masih lagi degil dan mengulangi perkara sama dengan meletakkan kerusi dan meja mereka di tempat parkir pada waktu malam.

Khalid berkata DBKL akan membuat rombakan terhadap pegawai-pegawai penguatkuasa untuk bertugas di kawasan berlainan setiap enam bulan bagi membendung salah guna kuasa dalam kalangan mereka.

“Ia juga dapat mengelakkan daripada terbentuknya budaya tertentu seperti berlakunya sogokan wang dengan pengusaha restoran untuk melakukan sesuatu aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menarik balik lesen perniagaan daripada peniaga dan pengusaha restoran yang masih ingkar arahan DBKL untuk tidak berniaga di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Sebenarnya mereka perlu memohon kepada DBKL dan hanya boleh berniaga di kawasan-kawasan yang ditetapkan sahaja, jika melangkauinya tindakan merampas kerusi meja serta kompaun akan dikenakan terhadap mereka.

“Tapi jika mereka masih degil, kami akan bertindak termasuk menarik balik lesen perniagaan,” katanya.

Program ‘Rain Forest Challenge’ yang berlangsung mulai 24 Nov hingga 4 Dis ini disertai kira-kira 500 peserta dari lebih 20 negara termasuk Russia, China, Equador, Mongolia, Korea, Vietnam, Filipina dan Malaysia.

Menurut pengasas ‘Rain Forest Challenge’ Luis J.A Wee, acara yang berlangsung sejauh lebih 350 kilometer itu akan melalui hutan belantara di sekitar Tumpat, Tanah Merah, Sakor, Pos Gob dan dijangka berakhir di Gua Musang pada 4 Disember.

“Selain itu, program turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Perhimpunan Kelab-Kelab 4×4 yang bakal menghimpunkan 500 buah kenderaan 4×4, persembahan kebudayaan serta jualan cenderamata,” katanya.– Bernama

Tiada ulasan: