Sabtu, 24 November 2018

Anwar: Himpunan ICERD ‘gimik politik nakal’




Anwar Ibrahim (tengah) bersama peguam Australia, Mark Trowell 
(kanan) berucap dalam sebuah forum sempena Festival Sastera 
George Town (GTLF) di Pulau Pinang, hari ini. (Gambar GTLF)
GEORGE TOWN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan beberapa kumpulan Melayu dan parti politik meneruskan himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), selepas Putrajaya memutuskan tidak menandatangani triti global itu.

Beliau menyifatkan himpunan yang disokong PAS dan Umno itu sebagai “gimik politik nakal” semata-mata mahu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana tidak menerima ICERD.

“Saya tidak fikir itu munasabah. Saya banyak berhimpun, kita berhimpun atas prinsip tolak ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), minta pilihan raya bersih, tolak kezaliman.

“Ini…ini tak, perhimpunan kerana setuju tolak. Apa benda ni?” katanya di luar sebuah forum sempena Festival Sastera George Town (GTLF) hari ini.

Terdahulu, Anwar dan peguam Australia, Mark Trowell berucap dalam forum itu.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Malaysia tidak akan meratifikasi ICERD, sebaliknya terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara.

Susulan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya dilaporkan berkata, himpunan pada 8 Disember ini tetap diteruskan di Dataran Merdeka, tetapi ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man turut dilaporkan berkata, himpunan pada bulan depan itu tetap diteruskan, walaupun parti Islam itu menyambut baik keputusan kerajaan tidak mengiktiraf ICERD.

Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, parti itu akan menyertai himpunan itu sebagai tanda “terima kasih” terhadap keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD.

Anwar berkata, Putrajaya tidak mengiktiraf ICERD demi “keselamatan negara dan perpaduan masyarakat”.

“Pendirian saya ialah anda membincangkan isu ini panjang lebar dan kemudian tangguhkannya dalam proses…kerana kita mahu fokus kepada tadbir urus dan membangunkan institusi terlebih dahulu,” katanya sambil menambah kerajaan komited terhadap dasar menolak amalan bersifat diskriminasi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kerajaan akan terus berbincang dengan rakyat dan yakin orang ramai akan memahami kerumitan isu itu.

Tiada ulasan: