KUALA LUMPUR – Selang dua hari selepas ‘mengamuk’ dalam laman sosial
Twitter, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua sekali
lagi mengeluarkan kenyataan pedas berhubung ‘konflik’ dalaman parti
berkenaan.
Kali ini, Tian Chua seperti yang dilaporkan Berita Harian berkata,
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bukan ‘sesiapa’ dalam parti yang
mempunyai kuasa atau untuk membuat tentang pengumuman pengosongan kerusi
Parlimen untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.
Malah jelas Tian Chua, perkara itu sepatutnya dibincangkan terlebih
dahulu dalam mesyuarat kepimpinan parti terlebih dahulu sebelum membuat
sebarang pengumuman penting seumpama itu.
“Siapa Rafizi untuk umum? Datuk Seri Wan Azizah pula ‘terpaksa’ mengesahkan apa yang sudah diumumkan oleh Rafizi?
“Isunya adalah, tiada sesiapa pun tahu ada langkah sebegitu dengan
mengosongkan kerusi Parlimen adakah sama seperti ‘Langkah Kajang’, tiada
sesiapa yang tahu,” soalnya.
Kata Tian Chua, perkara penting dan keputusan seperti itu sebenarnya
perlu perbincangan dengan kepimpinan tertinggi dalam parti sebelum
membuat sebarang keputusan dan bukan main ‘sorok-sorok’.
“Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu dimaklumkan kerana Anwar
akan menjadi Ketua PH dan bakal menjawat jawatan nombor satu negara
sebagai Perdana Menteri, ini bukan perkara remeh dan kita tidak boleh
perkecilkan peranan Anwar begitu sahaja.
“Rafizi tidak berhak buat pengumuman dan tidak berhak pergi merata
tempat seolah-olah dia seorang yang buat keputusan segala-galanya,”
tegasnya.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli
Persoalan sama turut dilahirkan oleh Ketua Wanita PKR, Zuraida
Kamaruddin yang mengesahkan tidak ada sebarang perbincangan dibuat
sebelum pengumuman oleh Rafizi baru-baru ini.
Sabtu lepas, Tian Chua melepaskan ‘amarahnya’ melalui laman Twitter
dengan mempersoal pemimpin tertentu dalam parti yang menganggap diri
mereka ‘kingmaker’.
Tian Chua menyoal siapakah itu yang secara suka hati mengangkat diri
sebagai ‘kingmaker’ dan mengaku dirinya bertanggungjawab untuk setiap
apa yang berlaku dalam parti PKR.
Selain itu, soal Tian Chua, berapa kali lagi pemimpin itu mahu
berterusan ‘menyeret’ PKR dalam kemelut sama seperti perancangan
‘Langkah Kajang’ sebelum ini.
“Berapa kali anda mahu heret parti ke dalam ‘lumpur’ seperti Langkah
Kajang sebelum ini? Siapakah ini yang sentiasa meletakkan dirinya
sebagai ‘kingmaker’ untuk segala apa yang berlaku?” soalnya.
Walaupun beliau tidak menyebut mana-mana pihak atau nama pemimpin
tertentu dalam twitter beliau namun umum boleh meneka berkemungkinan
besar merujuk kepada Rafizi yang sentiasa kuat menyokong kepimpinan
Anwar Ibrahim selama ini.
Terdahulu, Rafizi membuat pengumuman satu kerusi Parlimen akan
dikosongkan pada minggu hadapan untuk memberi laluan kepada Anwar
Ibrahim bertanding dalam masa terdekat.
Rafizi turut memberi gambaran antara kerusi tersebut termasuk
Selayang, Sungai Petani dan Sungai Siput ketika ceramah Reformasi 2.0 di
Kota Bharu Jumaat lepas sebelum ‘disahkan’ oleh Wan Azizah dan Anwar
Ibrahim keesokan harinya. – Malaysia Gazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan