JOHOR BAHRU — Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan
Iskandar murka dengan tindakan seorang Anggota Majlis Bandaraya Iskandar
Puteri (MBIP) yang menggunakan bahasa Cina dalam urusan surat rasmi
majlis itu.
Baginda bertitah apa sahaja surat rasmi, sama ada
melibatkan kerajaan negeri mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) di
Johor seharusnya ditulis dalam bahasa Melayu.
“Apa sahaja urusan surat menyurat melibatkan kerajaan
negeri atau Anggota Majlis PBT, semuanya mesti dalam bahasa Melayu
kerana ia menggunakan kepala surat rasmi kerajaan negeri walaupun ia
berkaitan pemakluman mesyuarat.
“Bila masa dalam negeri Johor, surat rasmi ditulis dalam
dua bahasa,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Royal
Press Office (RPO) dalam laman Facebook rasmi baginda di sini, hari ini.
Baginda bertitah demikian sebagai mengulas tindakan seorang
Anggota Majlis MBIP yang menggunakan bahasa Cina dalam surat rasmi
majlis untuk memaklumkan mengenai penganjuran sebuah majlis dialog.
Surat rasmi berikut seterusnya viral dalam laman media sosial.
Sultan Ibrahim turut bertitah semua pihak harus menghormati
penggunaan bahasa Melayu dalam sebarang urusan surat rasmi berkaitan
kerajaan negeri mahu pun PBT, yang telah digunapakai sejak dahulu di
Johor.
“Saya sarankan kepada Anggota Majlis, jika tidak tahu buat
kerja baik letak jawatan sahaja. Ini amaran saya…, jangan pisang berbuah
dua kali,” titah baginda.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan