Selasa, 25 September 2018

PEMIMPIN YANG LEMAH TINGGALKAN UMNO – ANNUAR

Foto Hazierra Lukman@watanonline
 Hanya pemimpin yang lemah dan mempunyai kepentingan peribadi bertindak meninggalkan UMNO, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, meskipun beberapa pemimpin UMNO bertindak meninggalkan parti, namun, UMNO di peringkat akar umbi terus utuh.

“Yang lemah semangat itu pemimpin, sebab pemimpin terlalu banyak kepentingan peribadi, tetapi orang kampung dan rakyat, mereka lebih setia pada perjuangan, jadi proses ini bukan baharu.

“Adakah bila pemimpin (UMNO) di Jeli keluar (parti), ada ahli yang ikut serta, maka habis tutup UMNO di Jeli? Begitu juga di Masjid Tanah, Melaka,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Beliau mengulas keputusan Ketua Bahagian UMNO Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang mengumumkan keluar parti selepas Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman.

Sementara itu, Annuar berkata beliau belum menerima sebarang notis mengenai peletakkan jawatan Setiausaha Agung UMNO Wilayah Persekutuan itu.

“Saya belum menerima notis (keluar UMNO), walaupun saya ada dengar secara tidak rasmi,” katanya.

UMNO kini hanya mempunyai 49 kerusi Parlimen, selepas lima ahli Parlimennya meninggalkan parti itu sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu.


Tiada ulasan: