Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
IMPIAN Dato’ Seri Anwar
Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir
Mohammad mungkin tidak akan kesampaian, walaupun Langkah PD telah
disusun.
Tidak mustahil, walaupun Parlimen Port
Dickson (PD) dirasakan selamat buat Anwar dan PKR, namun Parlimen PD
juga boleh menjadi penamat jalan kepada team Anwar dalam memastikan
Presiden PKR itu tidak ke Dewan Rakyat, seterusnya diangkat sebagai PM.
Ingat, dendam Mahathir terhadap Anwar
bukan mudah untuk dipadam begitu sahaja dengan kerjasama di bawah
Pakatan Harapan (PH). Mahathir tidak pernah senang dengan kehadiran
Anwar dalam kerjasama PH.
Apatah lagi adegan lompat melompat MP
Umno telah pun bermula, dimulakan anak didik Tun Daim Zainuddin iaitu
Dato’ Seri Mustapa Mohamed selaku MP Jeli, dikuti Dato’ Seri Anifah Aman
sejurus selepas Tok Pa membuka jalan.
Dijangkakan ada antara 16 orang lagi
akan menyeberang, maka dapat dilihat andai kemasukan MP Umno ini sebagai
satu usaha mengukuh kedudukan Bersatu dalam PH, dan usaha menghalang
cita-cita Anwar.
Umum mengetahui dendam kesumat Mahathir
ke atas Anwar, namun ramai pimpinan Umno yang pro Mahathir tahu kenapa
Mahathir cukup berdendam dengan Anwar khasnya dalam episod pemecatan
tahun 1998 yang akhirnya menghadiahkan adegan usung tilam, pemenjaraan
Anwar dan berlakunya reformasi oleh pemimpin muda yang pro-Anwar.
Ketika itu, hayat politik Anwar
diselamatkan PAS di bawah pimpinan Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor,
walau pada awalnya ditentang hebat oleh Mohamad Sabu yang kerap
menggelarkan Anwar dengan gelaran sangat sinikal.
Kes Sodomi 1 dan kemudian Sodomi 2, umum
tahu penglibatan Mahathir dalam mempastikan Anwar terpenjara, dan
bagaimana Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dijadikan ayam
tambatan bagi mengendali kes itu atas nasihat Mahathir agar Anwar
disumbat semula ke tirai besi.
Apapun berlaku sama ada benar atau salah
(Anwar), yang pasti umum tahu pembabitan secara terselindung Mahathir,
dan kemudiannya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang menggantikan Tun
Abdullah Ahmad Badawi mendapat sokongan Mahathir, walau kemudiannya
Mahathir mula menyerang Najib angkara mencantas hayat politik anaknya,
Dato’ Seri Mukhriz.
Dendam kesumat ini tak terhenti setakat
adegan Sodomi 2 melibatkan Saiful Bukhari Azlan, dan peguam yang menjadi
pendakwaraya ketika itu adalah Shafee. Anwar tersumbat ke penjara
selepas bicara kes Sodomi 2.
Dalam percubaan berikutnya adegan filem
berdurasi 20 minit China Doll, Anwar sekali lagi diaibkan dan se-Malaya
adegan selingkuh ini yang kemudian menjadi viral.
Keresahan Mahathir berdepan Anwar dapat
dilihat apatah lagi sebaik Mahathir menguasai kerajaan, dia menafikan
pula soal perjanjian dua tahun selaku PM.
Bingkas dengan telahan awal Mahathir
itu, Anwar dan kumpulan pro-nya dalam PKR kini sedang berusaha
memastikan calon MP PD itu jadi PM.
Antara yang kuat membedal Mahathir
ketika ini termasuk ayam tambatan Anwar, Rafizi Ramli dan Abdullah Sani,
tidak kurang Fuziah Salleh.
Di pihak pro Mahathir dalam PKR yang
diketuai Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin kini sedang
giat mempertahan Azmin yang diketahui anak kesayangan Mahathir yang
berperanan di sisi Anwar sejak dahulu lagi.
Dalam perang antara Mahathir dan Anwar,
Azmin dan Rafizi masing-masing sedang menghunus propaganda antara satu
sama lain, menjadikan PKR semakin berpecah.
Maka Anwar perlu sahaja beringat bahawa
yang menjadi PM hari ini adalah Mahathir, insan yang menyumbatnya ke
penjara dalam Sodomi 1 dan terkait dalam Sodomi 2, tidak mustahil kerusi
anganan Anwar di PD boleh terlepas dengan permainan Mahathir yang kini
menguasai sepenuhnya kerajaan.
Dendam dan kesumat Mahathir tidak boleh
diselindung, sinikalnya dalam banyak hal terhadap Anwar tidak boleh
dinafikan, malah kini pelbagai rancangan sedang hangat dijalankan
olehnya termasuk adegan lompat melompat MP Umno yang sedang berjalan.
Seperkara lagi, ketika hangat isu ini
berjalan, peguam tersohor, Muhammad Shafee tiba-tiba ditahan pula kerana
tuduhan terlibat skandal pengubahan wang haram.
Muhammad Shafee dalam responsnya tidak
menjangkakan bahawa dirinya akan didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat
pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM9.5 juta, lima
tahun lalu.
Beliau berkata, kesemua transaksi RM9.5
juta itu mempunyai resit yang dikeluarkan oleh firmanya terhadap bekas
Perdana Menteri, Najib Razak sebagai yuran guaman.
“Saya langsung tidak menjangkakan
pertuduhan terhadap saya, ini kerana saya hanya terima bayaran bagi
khidmat guaman yang telah diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di
lobi Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, baru-baru ini selepas selesai
membayar wang ikat jamin sebanyak RM500,000.
Tambahnya, sebagai peguam adalah tidak
wajar untuknya mempersoalkan daripada mana sumber kewangan yang dibayar
oleh Najib itu diperoleh.
“Takkan saya nak tanya perdana menteri (Najib) daripada mana sumber wang berkenaan,” katanya.
Muhammad Shafee turut menyifatkan bahawa
tuduhan yang dikemukakan kepadanya itu adalah bermotifkan politik
malahan tidak berasas serta karut.
Membaca kenyataan Shafie, pastinya
pemerhati politik dapat menangkap makna sebenar babak politik ketika
ini, dan apakah sekali lagi Mahathir memasang jerat untuk menghalang
Anwar? Umum tahu jasa Shafee dalam pengendalian Sodomi 2, apatah lagi
kelibat Tan Sri Gani Patail pula seolah-olah kurang berkesan dalam
babak-babak sebegini.
Anwar sebenarnya meniti jalan sukar,
dalaman parti sendiri sudah mula berpecah belah, yang jelas berpaling
tadah sudah mula kelihatan, yang setia pun silap-silap bila berdepan
"jawatan dan pangkat, laba kemenangan" bisa tersungkur.
Melihat situasi ini, Anwar barangkali
tidak mudah ke posisi nombor satu, kecuali adanya usaha membina koalisi
lain bukan bersama kumpulan yang dilihat bertentangan aspirasinya.
Adegan semakin menarik, menjelang
penamaan calon PRK Parlimen PD, apa sahaja boleh berlaku, sama ada
episod malang 98 boleh berulang ke atas Anwar, atau kes lain pula akan
dihadapkan ke atasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan