Rabu, 26 September 2018

Rasuah: Abdul Azeez dan abang direman 4 hari

THE MALAYSIAN TIMES



PUTRAJAYA: Anggota Parlimen UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan abangnya ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes berkaitan rasuah.

Turut direman ialah seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga pengarah syarikat berkaitan dengan Datuk Seri itu yang sebelumnya ditahan pada 5.30 petang semalam di Putrajaya.

Perintah tahanan reman berkuat kuasa hari ini itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim mengikut peruntukan 117 Kanun Acara Jenayah selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut jurucakap SPRM, wakil rakyat dari sebuah negeri di utara Semenanjung itu ditahan pada kira-kira pukul 11 pagi semalam di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini, selepas hadir memberi keterangan.

Beliau ditahan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan kes menerima rasuah, katanya.

SPRM juga, katanya turut menahan abang kepada suspek setengah jam kemudian di sebuah lokasi di Sungai Buloh, Selangor.

Terdahulu, ketibaan Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu dengan berpakaian lokap SPRM dan bergari pada pukul 10.30 pagi itu disambut oleh segelintir penyokongnya yang menunggu di perkarangan mahkamah sejak pukul 8 pagi.—Bernama

Tiada ulasan: