Khamis, 27 September 2018

Permulaan gembira buat nasi ayam kampung Bob Lokman

 


Baru dua hari Bob Lokman berniaga nasi ayam kampung di pekarangan Masjid Al-I’tisam, Taman TTDI Jaya di Shah Alam, Selangor, sudah ada khabar menggembirakan buatnya.

Selama dua hari itulah nasi ayam kampung bekas pelawak, pengacara, pelakon dan penulis lirik berkenaan habis dalam tempoh hanya tiga jam.

“Nasi berlauk ayam goreng - yang disembelih sebelum tempoh matang bagi mendapatkan isi lembut - dijual pada harga RM7.50 berserta air laris sangat cepat,” katanya kepada Malaysiakini.

Pemilik nama asal Mohd Hakim Lokman itu ditemui di Masjid Al- I’tisam hari ini.

Kali terakhir Bob, 54, berniaga adalah pada Jun lalu. Ketika itu dia mengusahakan perkhidmatan menyajikan makanan atau katering.

Bob terpaksa menghentikan perniagaannya kerana perlu berulang-alik mendapatkan rawatan di hospital selama enam bulan ekoran masalah jantung dan paru-paru.

Selain itu Bob turut mengidap penyakit kencing manis.

Bob ketika ini menggagahkan diri untuk berniaga secara kecil-kecilan demi menyara kehidupannya sekeluarga walaupun dia mengaku menghadapi kesukaran untuk berdiri terlalu lama.

Tugas memasak dan jualan dibantu buat sementara waktu oleh adiknya, Sharipah Hikmah, 51, anak sulungnya Mohd Adam dan seorang lagi anak saudaranya.

Untuk fasa permulaan, Bob menyasarkan hingga 200 pelanggan. Gerai dibuka setiap hari kecuali Isnin dengan waktu operasi yang bermula seawal jam 12 tengah hari hingga 3 petang.

Jika perniagaannya menunjukkan perkembangan sangat positif, Bob bercadang untuk menambah jenis menu dan jumlah hidangan dari semasa ke semasa selain memanjangkan waktu jualan.

“Perniagaan akan dilanjutkan pada sebelah malam bermula jam 6 petang hingga 11 malam dengan hidangan seperti spaghetti, sup kambing atau kambing bakar,” katanya.

Kata Bob, buat masa ini pihak masjid membantu dengan mengizinkannya berniaga di situ tanpa mengenakan sebarang bayaran hingga keadaan mengizinkannya untuk membayar sewa.

“Pihak masjid bagi peluang untuk berniaga dulu. Sekiranya tiada aral melintang dan perniagaan ini maju untuk diteruskan barulah kami akan rundingkan mengenai sewa,” katanya.

Sementara itu, Bob yang pernah menulis kira-kira 350 lirik lagu antaranya Isabella, Pada Syurga di Wajahmu dan Rendang Tak Berbuah berkata dia terpaksa mengambil 15 jenis ubat setiap bulan dengan kos dianggarkan melebihi RM1,000.

Walaupun kini hanya perlu pergi ke hospital sekali sebulan bagi menjalankan rawatan, kata Bob dia masih bergantung kepada tabung oksigen untuk bantuan pernafasan semasa tidur.

“Tanpa tangki oksigen pernafasan boleh terhenti secara tiba-tiba dan insiden itu mengakibatkan saya dimasukkan ke hospital beberapa kali sebelum ini.

"Kesan daripada kejadian itu badan akan terasa lesu dan mengantuk," katanya.


Tiada ulasan: