Rabu, 26 September 2018

KABINET BAYANGAN: KU LI, ZAHID PANTAU JPM



Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bertanggungjawab terhadap portflio Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Kabinet bayangan yang dibentuk parti itu bersama Barisan Nasional (BN).

Turut sama berperanan memantau portfolio itu dalam Kabinet bayangan berkenaan ialah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang memaklumkan Kabinet bayangan itu menggunakan sistem Jawatankuasa Portfolio (JKP) bagi memantau setiap kementerian dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“JKP ini berperanan sebagai semak dan imbang bagi setiap kementerian dan ia juga sebagai pemantau dasar serta menggubal dasar alternatif bagi menyaingi dasar kerajaan.

“Semua JKP terbabit dalam menggubal belanjawan alternatif yang diketuai oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Selain itu, Datuk Seri Shahidan Kassim akan memantau portfolis Menteri Dalam Negeri; Datuk Seri Hishammuddin Hussein (pertahanan); Khairy Jamaluddin dan Arthur Joseph Kurup (kewangan); manakala portfolio hal ehwal ekonomi akan dipantau Datuk Seri Hasan Arifin.

Sementara itu Annuar berkata, UMNO mengalu-alukan pembabitan mana-mana parti dalam blok pembangkang termasuk PAS untuk menganggotai JKP.

“Kita sudah menyampaikan perkara ini kepada semua parti pembangkang yang lain sekiranya mereka berminat untuk menganggotai jawatankuasa ini,” katanya.

Ditanya kenapa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak tersenarai dalam JKP, Annuar berkata ahli Parlimen Pekan itu sendiri tidak mahu namanya disenaraikan.


Tiada ulasan: