WAWANCARA | Hampir 100 hari Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memegang jawatan presiden Umno.
Perlu direkodkan bahawa beliau berada di jawatan itu bukan kerana anugerah atau diberikan laluan terbentang luas, sebaliknya melalui proses demokrasi melibatkan bahagian-bahagian Umno di seluruh negara.
Bekas timbalan perdana menteri itu dicabar bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Namun di mata sesetengah orang Ahmad Zahid belum cukup menyinar.
Malah beliau sendiri dikritik susulan tindakan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman meninggalkan parti berkenaan.
Khairy menyalahkan Ahmad Zahid dengan menyifatkan kehangatan sikap ditunjukkan Umno kepada PAS menyebabkan parti itu kehilangan "sinarnya".
Tindakan itu disusuli pula dengan senarai tular 18 nama pemimpinnya yang dikatakan bakal menyusul, walaupun sebahagiannya sudah membuat penafian.
Dan ia berlaku kurang seminggu sebelum Perhimpunan Agung Umno (PAU) berlangsung pada Sabtu ini.
Menerusi wawancara eksklusif bersama Malaysiakini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Khaled Nordin berkata semua pihak wajar memberikan masa dan ruang kepada Ahmad Zahid bagi membuktikan tuduhan tersebut tidak benar.
“Bagi dia masa, mungkin dia boleh buktikan pada semua (pengkritik) yang mereka salah pada PAU ini, ada berapa hari lagi nak PAU,” katanya dalam wawancara itu di Kuala Lumpur, Isnin lalu.
PAU kali ini menjadi tumpuannya kerana buat pertama kali ia diadakan ketika Umno menjadi pembangkang, dan presidennya pula berstatus ketua pembangkang.
Ia juga dilangsungkan selama dua hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
Dihadiri pemimpin PAS
Justeru, Khaled berkata anggota parti boleh menilai prestasi Ahmad Zahid melalui ucapan dasarnya yang kemudian akan dibahaskan perwakilan.
Ditanya berapa lama tempoh yang perlu diberikan kepada Ahmad Zahid sebelum anggota parti boleh membuat kesimpulan mengenainya, Khaled tidak memberikan reaksi muktamad.
“Kita tengok dan dengar, timbangkan ucapan dasar dia nanti, dari situlah (lihat kemampuan Zahid),” kata bekas menteri besar Johor itu.
Ia juga bakal mencatat sejarah tersendiri apabila majlis perasmiannya akan dihadiri oleh pemimpin PAS.
Hal itu sudah diumumkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hari penutup Muktamar PAS di Kuala Terengganu pertengahan September lalu.
Mengenai tempoh PAU yang disingkatkan, Khaled berkata ia dibuat sesuai dengan kedudukan parti terbabit yang kini menjadi pembangkang, selain perlu diselaraskan dengan kemampuan ahlinya.
“Kita bukan lagi parti kerajaan, kalau dulu kita kena bahas banyak benda, tapi sekarang kita pembangkang, kenapa kita nak berperangai macam masih menjadi kerajaan?” katanya.
Pengerusi Umno Perlis itu turut menekankan bahawa buat ketika ini semua pihak perlu bersatu, jujur dan mempunyai strategi menguatkan parti.
“Banyak perkara yang perlu dibuat, tak cukup hanya menjerit.
"Umno perlukan kesatuan dalam kalangan ahli, jujur dan kalau ikut track record kita dah capai tahap tu dulu.
“Umno parti Melayu tapi (menyantuni) bukan Melayu. Untuk memenuhi cabaran, saya dah buat dulu (di Johor), Umno mesti ada strategi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan