TERPULANG kepada pembaca. Terpulang kepada penyokong dia. Terpulang kepada siapa saja nak kata mengenai tajuk yang Pedang letak di atas.
Atau, nak Pedang ulang sekali lagi? ‘Antara Mujahid dan mu jahil’. Kenapa cakap seperti orang jahil. Belajar tinggi-tinggi, tapi jahil tahap lebih tinggi. ‘Mu’ adalah kata ringkas bagi ‘kamu’.
Pemimpin, terutama yang mengaku Islam, dan sudah ‘diizinkan’ belajar ilmu yang bagus-bagus, apabila bercakap kena hati-hati sikit. Kena berlapik. Cakap kena ada sempadan atau batasan – bukan ikut sedap mulut kerana hendak ambil hati orang kafir yang menjadi sahabat, tetapi melukai perasaan saudara seagama.
Ketika sahabat baiknya yang menjadi penyokong kuat kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), P Ramasamy berterusan menyerang pendakwah Islam, Zakir Naik, ‘mu jahil’ hanya berdiam diri. Tak bela orang Islam yang dihentam kiri kanan.
Apabila Ramasamy pula menjadi sasaran serangan pendakwah dan umat Islam negara ini supaya ‘jaga mulut’ atau lebih sensitif terhadap isu Islam, ‘mu jahil’ cepat-cepat melindunginya.
Hari ini, ‘mu jahil’ menyerang Zakir Naik dengan menegaskan kaedah dakwah yang menghina dan merendah-redahkan agama selain Islam adalah tidak sesuai di Malaysia.
Kata ‘mu jahil’ itu dibuat dalam ‘Seminar Kebangsaan Isu dan Cabaran dalam Hubungan Masyarakat Majmuk’. Tidak terfikirkan ‘mu jahli’ siapa yang mula mengganggu Islam? Adakah Zakir Naik yang mula mengganggu orang kafir?
Mana kata-kata ‘mu jahil’ terhadap orang kafir, termasuk Ramasamy dan mereka yang sewaktu dengannya dalam parti tamak haloba, rasis dan cauvinis DAP, yang selalu memperlekehkan umat Islam dan bangsa Melayu?
Sesekali, sesetengah orang menyesal menyokong Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, tapi demikianlah cara untuk mengajar Najib Razak, UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN). Akhirnya nasi menjadi bubur.
Orang Melayu terpaksa ‘bunuh mak bapa sendiri’ – ditelan mati emak, diluah mati bapa. Buang yang lama kerana ada sebab, ambil yang baharu lagi teruk. Dengan harapan dapat lebih membela Islam dan bangsa, tapi rupa-rupanya lebih jahil.
Nampaknya, ‘mu jahil’ menyongsong arus kehendak umat Islam negara ini yang majoriti dahagakan cara Zakir Naik berdakwah. Lantas, Pedang boleh rumuskan, ‘mu jahil’ juga pastinya tidak setuju cara Pedang dan rakan-rakan Pedang mempertahankan Islam, Melayu dan Tanah Melayu.
Tak mengapalah wahai ‘mu jahil’. Pedang langkah kaki keluar rumah dengan niat berjihad. Pedang bertawakal. Pedang hanya berdoa sebagaimana diperintahkan kepada Rasulullah ﷺ :
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Ali Imran, ayat 26)
Dalam ucapannya juga menteri Islam yang menjaga pelbagai agama itu turut bertanya kepada khalayak:
“Saya nak tanya ni, sejak bila Islam boleh berkembang dengan memaki hamun ni? Dengan mencerca agama lain?”
Pedang nak jawab ni:
“Tak ada.” Puas hati?
Mai Pedang nak tanya pula:
“Sejak bila umat Islam kena diam bila agama dimaki hamun? Sejak bila orang Islam kena ikut perintah kafir dan mereka yang jahil apabila berurusan mengenai Islam? Kenapa ada perang dalam Islam? Kenapa Rasulullah ﷺ angkat pedang?
Kenapa khalifah-khalifah Islam, seperti Yusuf bin Ayyub – ‘mu jahil’ kenal siapa dia? Dialah Salahuddin al-Ayyubi – berperang?
“Siapa yang memaki hamun siapa? Zakir Naik? Bila Zakir Naik memaki hamun agama lain? Setahu Pedang, Zakir Naik berdakwah dengan cara membandingkan agama Islam dengan agama-agama lain.
Jangan ingat cara ‘mu jahil’ saja yang betul! Orang lain pun berfikir cara ‘mu jahil’ tak betul sebagaimana ‘mu jahil’ kata cara orang itu dan ini tak betul.
Nampaknya, ramai pemimpin Islam sendiri yang mula keras terhadap Islam dan umatnya. Mereka cuba menjauhkan umat Islam daripada Islam. Ingatkan Yahudi dan musyrik sahaja yang keras terhadap Islam. Rupa-rupanya ada lagi yang lain.
Apapun, Pedang nak ingatkan diri sendiri dan pembaca:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (ketika jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam,) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu ketika jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah Ali Imran, ayat 103)
Kata Pedang: Pak Syeikh pun dah mula bantah hukuman takzir, sebat lesbian. Dah kata undang-undang liwat lapuk. Dunia, dunia!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan