Rabu, 26 September 2018

PAS: BILA KHALID NAK TUTUP KEDAI ARAK, RUMAH URUT

Wartawan Watan-Online




PAS hari ini mempersoalkan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad yang masih gagal bertindak menutup kedai arak yang menjual minuman keras tiruan sehingga mengorbankan 37 nyawa sehingga kini.

Namun terus bertindak terhadap pusat tahfiz tidak berdaftar di ibu kota walaupun mendapat tentangan umat Islam.

“Ramai yang masih menunggu pengumuman menteri wilayah untuk mengarahkan kedai arak ditutup, selepas lebih 30 mangsa mati akibat keracunan arak baru-baru ini,” tulis Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Facebooknya, pada Rabu.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, 23 kematian itu direkodkan di Selangor, 11 di Kuala Lumpur dan tiga di Perak.

Katanya, 23 pesakit masih menerima rawatan di 12 hospital sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan, dengan lapan daripadanya kritikal.

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan sepatutnya menutup premis haram yang boleh merosakkan orang ramai seperti rumah urut, pusat hiburan dan kilang haram yang terus berleluasa.

Katanya, kerajaan tidak sepatutnya menghukum pusat tahfiz lain disebabkan kes pengetua pusat tahfiz di Kepong yang didakwa meliwat sembilan pelajarnya.

“Yang buat salah tu tangkaplah, ambillah tindakan. Tak ada siapa nak bela yang buat perlakuan tak senonoh tu. Hukumlah seberat hukuman.

“Beliau sepatutnya memikirkan cara untuk membantu pusat pendidikan tidak berdaftar seperti tahfiz yang mendidik dan beroperasi melahirkan ratusan anak muda yang berakhlak dan penuh dadanya dengan al-Quran dan bukan mencari alasan untuk menutupnya.”

Semalam, Khalid mengumumkan DBKL akan menutup semua pusat tahfiz tidak berdaftar dan beroperasi secara haram, termasuk pusat tahfiz di Kepong, bagi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar terjamin.

Beliau berkata, DBKL akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk memantau semua pusat tahfiz di ibu kota.

Tiada ulasan: