Khamis, 27 September 2018

DAP cadang kerajaan wujud sistem tingkat keselamatan pelajar tahfiz, anak yatim


Oleh

Kerajaan perlu memainkan peranan khusus untuk memastikan aspek keselamatan kanak-kanak di pusat-pusat pendidikan persendirian terjamin kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Menurutnya, ia boleh dilaksanakan dengan langkah pemantauan berkesan secara berkala agar pihak berkenaan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan yang telah mengarahkan penutupan sebuah sekolah tahfiz di Kepong.

“Setelah melihat sendiri keadaan pusat tahfiz tersebut yang kelihatan tidak terurus; dengan pendawaian yang terjuntai dan lokasi yang tidak kondusif untuk proses penghafalan Al-Quran, saya merasakan perlu ada garis panduan yang jelas tentang operasi pust-pusat pendidikan dan jagaan kanak-kanak seperti ini,” katanya dalam kenyataan.

Lip Eng berkata, sistem pemantauan bukan sahaja perlu diwujudkan untuk menjamin keselamatan anak-anak di pusat tahfiz dan pusat jagaan anak yatim tetapi juga di rumah anak yatim, gereja dan seumpamanya demi memelihara keselamatan, kebajikan dan kepentingan kanak-kanak.

“Saya justeru mencadangkan supaya diwujudkan satu sistem untuk memantau dan menyelia pusat-pusat tahfiz serta tenaga pengajarnya; dengan melibatkan bukan sahaja badan-badan agama dan agensi kementerian pendidikan, tetapi juga pihak jabatan kebajikan,” katanya lagi.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu berkata, ibu bapa dan penjaga tidak wajar menyerahkan anak-anak kepada mana-mana individu atau organisasi atas nama pendidikan, tanpa mengambil peduli tentang kebertanggungjawaban organisasi tersebut.

“Anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama sebagai sebuah negara yang baru sahaja mengecapi perubahan.

“Mengabaikan kebajikan dan keselamatan mereka di tangan-tangan mereka yang tidak bertanggungjawab bukanlah satu pilihan,” katanya lagi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: