Selasa, 25 September 2018

PAS: Mujahid boleh jumpa LGBT tapi tak adil terhadap Zakir Naik

 



PETALING JAYA: PAS membidas Datuk Mujahid Yusof Rawa kerana mengatakan penceramah kontroversi Zakir Naik menghina agama bukan Islam, mengatakan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu “sangat tidak adil” dan “berniat jahat” terhadap penceramah dari India itu.

Ketua Penerangan Nasrudin Hassan berkata, tidak mustahil kenyataan Mujahid didorong pihak yang tidak senang dengan penceramah itu.

“Mujahid harus malu dan melihat kembali kenyataan yang pernah beliau kemukakan pada tahun 2017 terhadap Naik.

“Mujahid pernah menganggap program Naik perbahasan ilmiah. Mujahid sendiri pernah mencabar penganut Hindu yang tidak setuju dengan tokoh itu perlu lawan berbahas dan tidak menggunakan pelbagai alasan untuk menghalang kemasukannya ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Mujahid berkata kaedah dakwah yang menghina dan merendah-rendahkan agama bukan Islam tidak sesuai di Malaysia dan mengajukan Naik sebagai contoh.

Nasrudin berkata menteri itu seharusnya membincangkan aspek teknikal sekiranya tidak bersetuju dengan kaedah perdebatan Naik.

“Jangan sentuh sensitiviti melampau sehingga menimbulkan persepsi buruk terhadap Naik. Sikap apologetik Mujahid sangat naif sehingga membuat tuduhan melulu.

“Sikap tidak profesional tersebut telah menggambarkan kuasa yang dimiliki olehnya boleh menekan orang lain,” katanya.

Nasrudin berkata Mujahid menggunakan cara berbeza semasa menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), dengan mengundang wakil komuniti transgender ke meja rundingan dan mengadakan sidang akhbar bersama sambil menawarkan penyelesaian alternatif.

“Namun, apabila timbul isu Naik, beliau menyerang secara melulu tanpa berunding dengan tokoh tersebut.

“Demikian juga beliau boleh buat pertemuan dengan P Ramasamy dalam menangani tuduhan penglibatanya dengan pertubuhan pengganas Harimau Pembubaran Tamil Eelam (LTTE),” katanya, merujuk kepada timbalan ketua menteri II Pulau Pinang.

“Adakah sebenarnya Mujahid didorong atau berada bawah kawalan dan cengkaman pihak tertentu untuk memberi tekanan kepada Zakir?”

Tiada ulasan: