Perdana Menteri menjelaskan kerajaan pada masa ini tidak mampu untuk meningkatkan jumlah perbelanjaan memandangkan hutang yang ditanggung terlalu besar.
“Ada yang berpendapat RM1,800 adalah paling sesuai, ada pula yang kata RM1,500 gaji minimum paling sesuai.
“Tetapi kita juga harus ingat kita sedang bersaing dengan negara lain, kalau kos kita meningkat terlalu tinggi, kita akan hilang ‘competitive edge’ (daya saing) kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini, hari ini.
Penetapan gaji minimum diumumkan kerajaan pada Rabu lepas menyaksikan kenaikan RM50 di Semenanjung dan RM130 di Sabah dan Sarawak, berdasarkan syor Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) hasil kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2016.
Berkuat kuasa 1 Jan 2019, kadar gaji minimum adalah seragam bagi seluruh negara iaitu RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam.
Sebelum ini, Perintah Gaji Minimum 2016 memperuntukkan kadar gaji minimum RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata kerajaan bercadang mengurangkan pegangan saham parti politik dan individu dalam syarikat media bagi mengelak media diperalat pihak tertentu.
“Di mana-mana kita dapati ada saja pihak yang ingin menguasai media untuk kepentingan diri mereka, sebab itu kita kurangkan pegangan (saham) ini, tetapi kita masih belum laksanakan lagi,” katanya.
Ketika ditanya perkembangan mengenai penyediaan Bajet 2019, Dr Mahathir dalam nada berseloroh berkata: “Masih belum buat lagilah.”
Bajet 2019 dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada 2 Nov depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan