Peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang berdepan empat pertuduhan akan mengemukakan permohonan rasmi untuk mengketepikan bekas hakim mahkamah persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai barisan pendakwaan terhadapnya.
Perkara itu dimaklumkan oleh Muhammad Shafee kepada Hakim Azura Alwi ketika Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur memberikan peluang kepadanya untuk mengatakan sesuatu.
Muhammad Shafee mendakwa bahawa wujudnya hubungan tidak harmoni antara dirinya dengan bekas hakim itu sejak dahulu lagi.
Menurutnya, susulan suasana tidak harmoni berkenaan dengan Sri Ram yang mengetuai barisan pendakwaan, tertuduh melahirkan kebimbangannya untuk mendapat perbicaraan yang adil.
Beliau juga adalah peguam bela bagi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang sedang berdepan perbicaraan atas dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah.
Muhammad Shafee hari ini didakwa atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Muhammad Shafee, 66, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul tanpa menyatakan jumlah RM9.5 juta dalam penyata cukainya yang bertentangan dengan Akta Cukai Pendapatan 1967.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Selain Sri Ram, anggota pendakwaan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, Ahmad Akram Gharib, dan Afzainizam Abdul Aziz.
Muhammad Shafee pula diwakili peguam Harvinder Singh, Chetan Jethwani, Datuk Hasnal Rezua Merican, Sarah Abishegan, Rahmat Hazlan dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan