THE MALAYSIAN TIMES
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mengagihkan semula peruntukan berjumlah RM200, 000 kepada setiap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) bagi memastikan mereka dapat melaksanakan program rakyat kepada penduduk setempat.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata peruntukan itu merupakan polisi kerajaan negeri dan kerajaan negeri bersedia untuk memberikannya walaupun sebelum ini mereka menolak peruntukan berkenaan.
“Sebelum ini, kita adalah negeri pertama yang memberikan peruntukan itu yang saya rasa paling tinggi iaitu sejumlah RM200,000 (setahun).
“Kita akan beri sekiranya mereka mahu menerima peruntukan itu kerana ini polisi kita dan saya harap selepas peruntukan ini diberi mereka dapat guna sepertimana yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Pembangkang Selangor yang baharu, Adun Sungai Air Tawar dari BN, Rizam Ismail berkata parti itu memutuskan untuk menerima semula peruntukan yang diberikan kepada setiap Adun pembangkang di negeri ini.
Katanya, langkah itu perlu supaya barisan pembangkang BN mempunyai fasiliti yang cukup untuk melaksanakan program kepada masyarakat.
Sejak empat tahun lepas, kesemua Adun BN menolak peruntukan itu kerana mendakwa kerajaan negeri tidak ikhlas memberikan peruntukan tersebut.
Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya juga bersedia untuk memberikan jawatan Pengerusi Kira-kira Wang Awam (PAC) Selangor kepada ketua pembangkang yang baharu.
Beliau berkata ini kerana mengikut peraturan dewan Selangor, jawatan pengerusi PAC itu secara automatiknya akan dipegang oleh ketua pembangkang.
“Jika beliau sedia, sila ambil dan laksanakan tugas, kita jujur pada janji kita,” katanya.
Amirudin mengulas kesediaan Rizam memegang jawatan sebagai pengerusi PAC.
Sebelum ini, Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dari DAP dilantik sebagai Pemangku pengerusi PAC susulan perletakan jawatan Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Shamsuddin Lias (BN) pada Disember 2014.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan