Khamis, 20 September 2018

Penduduk diberi notis seminggu kosongkan rumah timbulkan panik



Penduduk diberi notis seminggu kosongkan rumah timbulkan panik

Penduduk Kampung Teluk Serdang Pinggir telah diberikan notis pengosongan rumah yang bertempoh tujuh hari.

Perkara tersebut telah dinyatakan di dalam surat notis yang bertarikh 17 September 2018 dan tarikh pengosongan 23 September 2018 oleh syarikat Dafu Development sebagai pemilik tanah.

Hal tersebut telah membuatkan penduduk kampung merasa panik dan sekaligus mempertikaikan tarikh yang diberikan oleh syarikat pemaju berkenaan tidak masuk akal.

Sazali Mappul

Menurut Pengerusi Jawatankuasa bertindak penduduk kampung tersebut, Sazali Mappul, 49, penduduk merasa tindakan pemaju ini tidak masuk akal.

“Tempoh yang diberikan amatlah singkat. Ia seolah-olah tidak memberi ruang pada kami untuk mencari tempat yang baru.

“Tidak ada perbincangan sebelum ini oleh pihak pemaju. Pihak pemaju hanya memaklumkan pada penduduk sebanyak dua kali dan notis ini adalah yang kali kedua,” kesal Sazali.

Sehubungan dengan itu, Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pulai, Norhayati A Majid berkata pihak beliau akan bersama-sama dengan Ahli Dewan Negeri (Adun) Perling untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Perkara ini akan dibawa ke peringkat seterusnya. Permohonan untuk diberikan tempoh kepada penduduk serta sedikit sumbangan pada penduduk juga akan diuruskan kepada pihak pemaju,” ujarnya.

Chee Yee How

Manakala menurut Adun Perling, YB Cheo Yee How ketika ditemui di tapak mesyuarat penduduk kampung berkenaan, tindakan pemaju ini dilihat tidak masuk akal.

Menurut beliau lagi, pihaknya akan bertemu dengan pemaju bagi membincangkan soal tempoh dan status tanah tersebut.

“Hal ini akan dibawa ke peringkat Kerajaan Negeri Johor melalui exco perumahan. Kami akan memohon jasa baik kerajaan untuk mengeluarkan arahan menangguhkan sementara notis tersebut.

“Penduduk perlulah diberikan ruang untuk mereka mencari kediaman baru. Sekurang-kurangnya sebulan dan tarikh tujuh hari ini memang tidak masuk akal.

“Selain itu saguhati kepada penduduk dari pemaju juga akan dirundingkan,” ujar Cheo.

Kampung Teluk Serdang Pinggir telah menempatkan 42 buat rumah dengan keluasan tanah 3.7 ekar dan mempunyai kepadatan masyarakat seramai lebih 100 orang.

Tiada ulasan: