Pengguguran kes rasuah membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik pendakwaan adalah tidak mematuhi prosedur standard operasi (SOP) selain ada perkara yang ‘tidak kena’ berlaku.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata ini kerana telah ramai saksi dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
“SOP biasa di Jabatan Peguam Negara sesuatu pertuduhan tidak akan ditarik balik apabila begitu ramai saksi telah tampil memberi keterangan di mahkamah.
“Sesuatu yang tidak betul sedang berlaku dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana jelas bertentangan dengan prinsip keadilan.
“Rakyat hari ini tidak bodoh, perkara itu sepatutnya diputuskan di mahkamah pada akhir perbicaraan,” katanya dalam satu tulisan menerusi aplikasi What’sApp.
Semalam, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung pembelian sebuah banglo dikatakan di bawah harga pasaran selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan.
Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail bersetuju dengan pendapat peguam tertuduh dengan berkata mahkamah mendengar keterangan 25 saksi dan tidak bersedia untuk mendengar lebih banyak keterangan daripada saksi.
Keputusan itu mengundang kejutan banyak pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan